HomeBeritaPolitikShahril Hamdan umum letak jawatan, desak Zahid Hamidi undur diri

Shahril Hamdan umum letak jawatan, desak Zahid Hamidi undur diri

CYBERJAYA: Bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah, Shahril Hamdan mengumumkan peletakan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Perkara itu diumumkan beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini atas dasar semangat “collective responsibility” yang terpancar menerusi kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini.

Jelasnya, UMNO perlu mempertimbangkan langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 kerusi di Parlimen.

Justeru, beliau turut menyuarakan desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan dalam parti berkenaan.

“Saya sependapat dengan YAB Menteri Besar Johor (Onn Hafiz Ghazi) iaitu, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini – berundur secara terhormat.

“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini.

“Atas semangat “collective responsibility” itu, saya juga meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia,” tulisnya.

Tambah Shahril, beliau amat menghargai peluang yang diberikan sebelum ini dan menyatakan dirinya masih kekal setia bersama UMNO meskipun kemenangan tidak berpihak pada mereka kali ini.

“Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar.

“Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. This is not the end,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor