BANDAR TASIK SELATAN: Penjualan tiket bas di Terminal Bas Selatan (TBS) menjelang PRU15 sangat laris, lebih 100,000 pengguna sudah berlepas pulang untuk mengundi.
Tinjauan MEDIA VARIASI di TBS mendapati tiket bas ke semua destinasi membabitkan 20 syarikat utama habis sejak Selasa lalu.
Pengurus Kanan Operasi Maju TMAS Sdn Bhd, Faizal Redza Redzuan berkata, peningkatan secara mendadak dari hari biasa, kali ini menyaksikan fenomena balik mengundi menjelang PRU15.
“Hasil temubual pihak kami mendapati 70 peratus adalah pelajar IPT yang pulang mengundi, anak-anak muda mengambil peluang ini untuk mendapat hak mereka sebagai rakyat.
“20 syarikat bas turut menyediakan bas tambahan, dengan purata trip perjalanan 40 kali sehari, daripada kira-kira 5,000 tiket sejak Selasa lalu.
“Menariknya kali ini, setiap kali dibuka tiket tambahan pun sangat laris dijual, boleh dikatakan 100 peratus terjual.
“Mungkin ada yang lambat diluluskan cuti, ada yang suka tunggu dan lihat di saat akhir punca lambakan penumpang sejak Selasa lalu, ” katanya kepada ditemui MEDIA VARIASI di Lobi Utama di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, hari ini.
Justeru, beliau menyarankan jika tiket bas habis namun keperluan mendesak untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, boleh mengambil pengangkutan alternatif lain seperti penerbangan, kereta api atau ‘Grab’.
Dalam pada itu, seorang pelanggan TBS, Mohd Noh Hussain, 42, berkata, beliau pulang ke Padang Terap kawasan penyandang Parlimen Datuk Seri Mahdzir Khalid.
“Tiket bas sudah habis sebab kerajaan lambat umum dapat cuti, jadi ramai balik tergesa-gesa.
“Jika tiada bas, saya tetap akan cari jalan untuk pulang, satu undi amat berharga,” katanya.
Beliau berpandangan PRU15 persaingan amat sengit mungkin BN akan bergabung dengan PH atau PN untuk bentuk kerajaan.