HomeBeritaPenangan PRU15, jalan ‘jem’ macam balik raya, tiket bas semua habis!

Penangan PRU15, jalan ‘jem’ macam balik raya, tiket bas semua habis!

CYBERJAYA: Menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada esok hari, rata-rata warga kota mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman demi melaksanakan tanggungjawab selaku rakyat Malaysia.

Susulan itu, kesesakan lalu lintas mula tercetus sejak malam tadi atas faktor peningkatan kenderaan di jalan raya.

Salah seorang wartawan MEDIA VARIASI turut tersekat dalam kesesakan lalu lintas yang dikatakan hampir tiga jam berada dalam kereta dan masih belum keluar daripada kawasan Kuala Lumpur untuk menuju ke Kuantan, Pahang.

“Saya dah tiga jam dalam kereta, baru dekat kampung Orang Asli Gombak dari Cyberjaya tadi,” ungkapnya ringkas.

Sementara itu, seorang lagi netizen yang mengalami nasib sama, Rashidah Nasir, turut meluahkan rasa pening berdepan dengan kesesakan hari ini meskipun sudah memulakan perjalanan pada pukul 9.40 pagi tadi.

Namun, sehingga pukul 1 petang, wanita berkenaan masih tersekat dalam perjalanannya dari Shah Alam menuju ke Temerloh, Pahang.

“Patutnya kalau dari Shah Alam ke Temerloh ambil masa dalam dua jam.

“Tapi hari ini, dari tadi tak gerak, rasa menyesal tak gerak semalam (Khamis),” katanya kepada MEDIA VARIASI menerusi WhatsApp.

Tinjauan MEDIA VARIASI di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) turut mendapati tiket bas ke semua destinasi membabitkan 20 syarikat utama habis sejak Selasa lalu.

Hasil temubual mendapati, 70 peratus pembelian tiket itu terdiri daripada pelajar IPT yang mahu pulang mengundi.

Menarik perhatian apabila setiap kali syarikat perkhidmatan bas membuka jualan tiket tambahan,  boleh dikatakan kesemua tiket itu habis dijual dalam masa yang singkat.

Perkara ini menunjukkan bahawa rata-rata pengundi luar yang tinggal di ibu kota tidak melepaskan peluang untuk pulang mengundi bagi menentukan masa depan Malaysia.

Author

Pilihan Editor