KUALA LUMPUR: Rata-rata pemerhati politik sebelum ini sudah menjangka tidak akan ada parti yang dapat meraih majoriti mudah bagi membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15, namun tidak ramai yang menduga akan tercipta situasi Parlimen tergantung.
Memasuki hari kelima kebuntuan dengan rakyat masih tertunggu-tunggu siapa yang bakal dilantik sebagai perdana menteri ke-10, ada pihak menuding jari kepada pengundi muda sebagai punca senario yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini.
Daripada kira-kira 21.1 juta rakyat yang layak mengundi pada pilihan raya Sabtu lepas, 1.3 juta orang adalah kelompok berusia bawah 21 tahun yang mengundi buat pertama kali, dan menurut seorang penganalisis, kecetekan ilmu tentang penubuhan kerajaan serta perjalanan pilihan raya golongan itu jelas dilihat pada keputusan pilihan raya tersebut.
“Saya melihat situasi berlakunya Parlimen tergantung ini yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, turut bertitik tolak daripada pelaksanaan Undi18, yang mana golongan ini dilihat masih belum matang dalam membuat pilihan,” kata Dr G. Manimaran kepada Bernama.
Ini kerana kata beliau, walaupun golongan itu dilihat tidak terikat dengan mana-mana ideologi politik, mereka dipercayai lebih mudah terpengaruh dengan isu politik semasa yang diuar-uar menerusi media sosial, dan keadaan tersebut dicerminkan oleh pola pengundian mereka.
PERLU PENDEDAHAN SECARA FORMAL
Sehubungan itu, beliau melihat ada keperluan untuk golongan muda ini diberi pendedahan secara formal tentang proses pilihan raya dan kepentingan undi mereka dalam pembentukan kerajaan dengan memperkenalkan subjek khusus di peringkat sekolah.
Mengulas lanjut, penulis buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang’ itu berkata pendedahan lebih awal ini amat penting sebagai persiapan buat golongan berkenaan dalam menunaikan tanggungjawab selaku pengundi, dan seterusnya membuat pilihan bijak tanpa dipengaruhi oleh mana-mana sentimen.
“Mereka harus faham dengan baik kepentingan memilih calon sebagai ADUN (ahli Dewan Undangan Negeri ) atau ahli Parlimen, fungsi Dewan Rakyat, Dewan Negara dan sebagainya, kerana apabila sudah ada ilmu, ia dapat membantu mereka menilai dengan baik sebelum mengundi,” katanya.
Lebih membimbangkan kata Manimaran ialah ada pengundi muda yang tidak mengambil serius tentang nilai undi mereka dalam menentukan hala tuju negara.
“Saya lihat ada golongan muda yang menganggap pilihan raya seolah-olah satu pesta sedangkan ia merupakan tanggungjawab sangat penting setiap individu dalam menentukan masa depan negara,” ujar beliau.
Ditanya tentang kemungkinan literasi sistem pilihan raya sejak di bangku sekolah merisikokan pelajar terlibat dalam politik, beliau berkata, tanggapan itu adalah salah faham yang wujud sejak sekian lama dan perlu diperbetulkan.
Pada masa sama, beliau berkata orang muda perlu ditekankan bahawa konteks pilihan raya bukan hanya terpakai dalam penubuhan kerajaan. Sebaliknya kata beliau, ia lebih luas dan berlaku dalam kehidupan seharian seperti pemilihan ahli jawatankuasa persatuan ibu bapa dan guru serta lain-lain pemilihan.
“Kita melabelkan pilihan raya sebagai ‘kotor’ sedangkan yang kotor ialah tindakan segelintir ahli politik yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan sebagainya. Sebenarnya, pilihan raya merupakan sistem demokrasi yang baik dan diamalkan dalam pemilihan pelbagai perkara seperti memilih ketua darjah,” katanya.
FAKTOR CALON DAN PARTI
Pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain mempunyai pandangan berbeza. Menurut beliau, kumpulan pengundi muda terbabit lebih kritis dan peka dengan isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka.
Beliau menyandarkan pandangan itu pada pemerhatiannya yang mendapati kebanyakan pengundi muda lebih cenderung menolak calon-calon daripada parti yang terpalit dengan pelbagai isu termasuk rasuah.
Selain itu, beliau juga melihat strategi meletakkan calon muda yang dilaksanakan oleh Perikatan Nasional (PN) membantu gabungan berkenaan mencatat kemenangan yang tidak dijangka selain menerima sokongan pemilih muda.
Menurutnya, pengundi muda melihat PN sebagai gabungan parti paling ‘selamat’ biarpun usianya baru menginjak dua tahun.
Ulas beliau, ketika Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kerajaan bermula Mac 2020, sebahagian golongan muda yang mengundi pada Sabtu lepas baru berusia 16 tahun, sekali gus membuatkan mereka berasa “lebih dekat” dengan kepimpinan Muhyiddin yang turut membahasakan dirinya “Abah”.
Gabungan PN yang sebelum ini dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai ‘underdog’ mencipta kejutan apabila memenangi 73 kerusi Parlimen, dan Muhyiddin pada sidang media Ahad lepas, mengakui kemenangan itu turut bersandarkan sokongan pengundi muda.
IMPAK MEDIA SOSIAL
Keputusan luar jangka PN itu menjadikan Muhyiddin calon berpotensi untuk diangkat sebagai perdana menteri ke-10 bersama-sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi 82 kerusi Parlimen.
Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua gabungan tidak memperoleh majoriti mudah 112 kerusi yang diperlukan, tumpuan kini terarah kepada Barisan Nasional (BN). Sekalipun mencatat keputusan terburuk dalam sejarahnya, BN yang memenangi 30 kerusi Parlimen diperlukan oleh kedua-dua PH dan PN untuk membentuk kerajaan campuran dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (23 kerusi) dan Gabungan Rakyat Sabah (6).
Turut mempunyai kerusi di Dewan Rakyat ialah Parti Warisan Sabah (3), Bebas (2) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat yang masing-masing memenangi satu kerusi.
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Sofia Hayati Yusoff berkata, tinjauannya mendapati lebih 95 peratus pengundi kali pertama mengakui mendapat segala maklumat mengenai PRU15 melalui media sosial.
Beliau percaya situasi itu memberi impak yang agak besar kepada keputusan pilihan raya tersebut.
“Pengundi muda sememangnya menggunakan media sosial setiap masa. Maka, mana-mana parti politik yang melakukan kempen melalui strategi pemasaran dengan mengetengahkan kumpulan ‘influencer’ (pempengaruh) sememangnya berjaya menarik pengundi muda.
“Jadi kita dapat lihat majoriti calon dan parti, mereka berkempen secara kerap di media sosial seperti Tik Tok, Twitter dan YouTube dengan pelbagai pendekatan termasuk hiburan dengan menyelitkan lagu-lagu terkini dalam kempen mereka dan ia sememangnya sangat mempengaruhi golongan muda,” katanya. – BERNAMA