KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara.
Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook memaklumkan sesi mesyuarat Pra-Kabinet itu berlangsung selama 45 minit bermula 4.15 petang.
“Sesi ini juga adalah yang pertama buat Anwar selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu,” menurut kenyataan itu.
Turut dimuat naik tiga keping gambar menunjukkan Perdana Menteri mengadakan perbincangan dengan Seri Paduka.
Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan serta isu berkaitan kerajaan. – BERNAMA