GEORGE TOWN: Seorang bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM12,000.
Jamaliah Ahmad, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menerima wang tunai berjumlah RM12,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di lobi sebuah hotel di sini kira-kira 7 malam pada 15 Disember 2021.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 41(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan terbabit dilakukan, atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hariss Ong Jeffery Ong manakala Jamaliah diwakili peguam, Md Yusuf Md Idris.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes berjalan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Januari tahun depan.
Berdasarkan fakta kes, Jamaliah didakwa telah menerima seorang bayi perempuan daripada seorang wanita warga Indonesia untuk dijadikan anak angkat, kemudian mengiklankannya dalam laman Facebook dikenali sebagai ‘Group Pencarian Anak Angkat’ kepada pasangan yang ingin mencari anak angkat.
Pada 15 Dis tahun lepas, dia telah menjual bayi itu pada harga RM12,000 kepada pasangan suami isteri dari Terengganu. – BERNAMA