HomePendidikan'Doctorate Support Group' di FB suntik semangat Salwa genggam PhD

‘Doctorate Support Group’ di FB suntik semangat Salwa genggam PhD

 

CYBERJAYA: Belajar hingga ke menara gading mungkin menjadi idaman ramai, namun untuk melalui lembaran proses pembelajaran itu sudah pasti membuatkan sebilangan daripada kita akan memilih untuk ‘berhenti’ mengorak langkah kerana terlalu lelah.

Bagaimanapun, buat seorang insan, Salwa Abdul Mutalib, 35, azam dan nekad untuk memajukan diri itu akhirnya berjaya membuahkan hasil dengan menerima gelaran Doktor Falsafah.

Menyingkap proses perjalanan dalam meneruskan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam, Salwa akui banyak pahit getir yang dilaluinya namun masih berjaya di atasi dengan dorongan dan sokongan oleh insan-insan tersayang.

Menurut Salwa, pada awal pengajiannya sebelum ini dia berasa malu dan hilang keyakinan untuk terus menyambung pengajian kerana tidak bergraduasi pada waktu yang ditetapkan.

Namun, pandangannya berubah apabila menyertai sebuah grup di Facebook iaitu ‘Doctorate Support Group’ yang secara tidak langsung membuat dirinya tekad untuk terus kekal mengejar cita-citanya.

Tambahnya lagi, perkongsian rakan-rakan dalam Doctorate Support Group nyata menyuntik semangat buat dia kembali bermotivasi sekali gus membuatkan impiannya untuk menggengam ijazah PhD tidak terkubur begitu sahaja.

“Dulu saya selalu rasa down dan malu sebab tak dapat graduate on time. Kemudian daripada group ini saya tengok ramai yang proudly posted graduate with 10 years… 8 years… Semangat naik balik dan akhirnya berjaya graduate dalam 5 ½ tahun tak termasuk extend sem macam-macam faktor.

“Macam-macam ilmu dan pengalaman dalam group ini saya dapat. Alhamdulillah. Hari konvokesyen rasa puas hati dapat sarungkan jubah pada mak,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambah Salwa yang membuat PhD dalam bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional, ibu dan suaminya merupakan antara tonggak utama yang banyak membantu dirinya dalam melalui fasa pembelajaran yang berpanjangan.

Hasrat Salwa untuk menyarungkan jubah graduasi terhadap ibu akhirnya tercapai

Jelas Salwa, ibunya sanggup menemani dirinya untuk membuat kutipan data di seluruh semenanjung Malaysia hingga ada kenangan pahit yang perlu mereka lalui bersama.

“Mak lah yang temankan anak dia kutip data kajian satu semenanjung. Sampai keracunan makanan masuk hospital berhari-hari dalam tempoh pusing satu semenanjung itu. Dia juga yang selalu doakan dan tak pernah miss baca yasin waktu nak exam atau viva, ujarnya.

Pada masa sama, Salwa turut bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang cukup memahami.

Menurutnya, meskipun terkadang mereka sekeluarga mengalami kekangan kewangan namun suaminya seringkali mengingatkan dia untuk mengutamakan pengajiannya.

“Kekangan duit memang selalu. Suami cuma pengawal keselamatan saja. Tapi Allah dah tulis rezeki saya sekeluarga dari tangan-tangan manusia lain.

“Jadi setiap bulan walaupun struggle tapi sentiasa cukup di akhir bulan. Suami cakap fokus belajar dan dia cari duit. Biar makan ala kadar asalkan saya tamat belajar cepat dan cepat-cepat dapat kerja.

“Alhamdulillah reda suami, mak ayah dan doa pada Allah selalu saya bawa bersama masa nak jumpa orang atau berurusan dengan orang-orang penting berkaitan kajian saya. Semua urusan jadi mudah bila saya mintak izin dan doa mereka sebelum buat apa-apa urusan. Bahkan orang-orang yang susah untuk berurusan (melalui kata-orang orang) pun saya dapat kerjasama yang baik,” kongsinya.

Salwa turut meninggalkan pesanan kepada para siswa dan siswi yang ingin melanjutkan pengajian supaya ingat bahawa proses pembelajaran itu bukanlah satu perlumbaan.

Struggle is real but I’m enjoying the PhD journey in every phase.

“Dari group ini juga saya belajar PhD bukan satu perlumbaan tapi satu proses untuk kita belajar dan belajar. Saya doakan kawan2 lain yang masih struggle pun berjaya graduate dengan cemerlang,” ujarnya.

Untuk makluman, Doctorate Support Group yang kini mempunyai hampir 100,000 keahlian merupakan sebuah komuniti yang berfungsi sebagai ‘one stop centre’ buat para siswa dan siswi mengetahui ilmu berkaitan pasca siswazah.

Author

Pilihan Editor