HomeGaya HidupKembara RIUH perluas potensi penggiat seni

Kembara RIUH perluas potensi penggiat seni

KUALA LUMPUR: Program Kembara RIUH edisi keenam kembali ke Lembah Klang dengan kerjasama strategik perkhidmatan jalur lebar unifi dan dikenali sebagai ‘ROCK’N RIUH! BERSAMA UNIFI’ di Bukit Kiara Equestrian Resort.

‘ROCK’N RIUH! BERSAMA UNIFI’ diterajui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Kumpulan MyCreative berlangsung selama tiga hari mulai 16 hingga 18 Disember.

Program tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Seri Mohammad Mentek yang mewakili Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Jumaat malam.

Kumpulan MyCreative berkata dalam satu kenyataan, Kembara RIUH telah dianjurkan sebanyak lima edisi sebelum ini di luar Lembah Klang iaitu Johor, Sabah, Melaka, Kelantan dan Perak yang telah berjaya menarik 162,254 pengunjung.

“Program Kembara RIUH merupakan antara inisiatif Kerajaan dalam memperkasa dan memperluas potensi penggiat dan usahawan industri kreatif tempatan di seluruh negara dan menjadi landasan yang menggerakkan para penggiat dan usahawan kreatif untuk menjana pendapatan daripada hasil kreativiti mereka.

“Penganjuran program ini menyediakan platform yang penting bagi meningkatkan keterlihatan pasaran (market visibility) serta peluang mempromosi produk dan bakat kreatif bagi memacu ekonomi industri kreatif,” katanya.

Sepanjang tiga hari berlangsungnya ‘ROCK’N RIUH! BERSAMA UNIFI’, para pengunjung dapat menyaksikan persembahan-persembahan hebat daripada penghibur tanah air seperti Datuk Ramli Sarip, Ella, IamNeeta, Aizat Amdan, K-Clique, SalamMusik, Insomniacks dan ramai lagi.

Majlis perasmian ‘ROCK’N RIUH! BERSAMA UNIFI’ turut dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan MyCreative, Noor Azmi Mat Said dan Ketua Pegawai Strategik Telekom Malaysia, YM Tengku Muneer Tengku Muzani.

Seluruh warga Lembah Klang dan negeri-negeri berhampiran dijemput hadir untuk memberikan sokongan kepada para usahawan dan penggiat industri kreatif tempatan di ‘ROCK’N RIUH! BERSAMA UNIFI’.

Author

Pilihan Editor