HomeBeritaDr Wincci mahu buktikan artis bukan tin kosong

Dr Wincci mahu buktikan artis bukan tin kosong

SUBANG JAYA: Keghairahan mengejar dan mencapai impian, Ratu Cantik Malaysia 2018, Dr Soo Wincci terus terbang tinggi menggapai awan untuk mencipta pencapaian baharu dalam bidang seni di luar negara pula.

Pemegang Malaysia Book Of Records menerusi pengiktirafan Miss World Malaysia Pertama Lulus PhD, itu tidak pernah berhenti menimba ilmu dan mencari peluang untuk memartabatkan bidang seni terutamanya bakat tempatan di luar negara.

Mengakui bukan seorang yang bijak, namun Wincci yang juga seorang pelakon, penyanyi dan pengacara mahu membuktikan pengorbanannya dalam mencapai pengiktirafan di peringkat dalam dan luar negara sebagai bukan artis ‘tin kosong’.

“Dalam mencari makna hidup, saya mencari pencapaian dalam dan luar negara. Saya nak cipta rekod dalam bidang seni, paling penting saya mahu bawa bakat Malaysia ke antarabangsa.

“Kita (penggiat seni) tak akan hanya tersekat di sini, jadi pendidikan adalah kaedah paling berkesan.

“Saya bukan seorang yang cerdik, jadi saya perlu menimba lebih ilmu, mencari ilmu dan erti hidup pada masa yang sama, mendidik orang lain, itu yang cari dalam hidup,” katanya kepada media.

Wincci berkata, dia tidak akan pernah berhenti terbabit dalam dunia seni kerana minatnya yang sangat mendalam, namun perlu bijak memilih cabang bidang yang ketika ini turut mengusahakan perniagaan, muzik dan produksi sendiri.

“Seorang artis bukan sahaja boleh berada di bidang seni, tetapi juga melangkah kaki di bidang pendidikan.

“Sekarang pun tak boleh jadi artis kosong. Sejak bergelar pendidik, secara jujurnya jadual saya sangat padat. Cuti semester pun, saya akan ambil cuti tanpa gaji kerana perlu masuk balik ke kaca TV, tetapi saya masih perlu berulang alik ke Sepanyol untuk buka pasaran di sana,” kata pensyarah produksi muzik dan perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam itu.

Terdahulu, Wincci menerima Anugerah Best Intelligent Figure 2022 pada Majlis Perasmian Tokoh Pintar Terbaik 2022 anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan China Press, yang berlangsung di sebuah hotel, di sini.

Yang turut hadir, Presiden MTPN, Datuk Paduka Dr Kevy Yeo dan barisan anggota MTPN; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan KSM, Abdul Razak Junaidi; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Perkhidmatan Awam Putrajaya, Muazam Mokhtar; dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Selangor, Nurul Azhar Husin.

Author

Pilihan Editor