HomeBeritaPolitikPembentukan Kabinet: BN Sabah rasa terpinggir

Pembentukan Kabinet: BN Sabah rasa terpinggir

CYBERJAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menzahirkan kekecewaan terhadap pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi berikutan tiada seorang pun Ahli Parlimen BN Sabah yang dilantik sebagai menteri penuh bagi mewakili negeri itu.

Beliau menyifatkan keputusan Anwar seolah-olah meminggirkan BN Sabah yang mempunyai tujuh Ahli Parlimen selain menjadi penyokong terawal kepada pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan Persekutuan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam perlantikan portfolio khususnya wakil daripada BN Sabah yang memberikan komiten awal bersama BN Pusat untuk menyokong Pakatan Harapan menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Tiada seorang pun daripada tujuh Ahli Parlimen BN dilantik sebagai menteri penuh.

“Jumlah itu juga dilihat tidak seimbang berbanding negeri jiran, Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua”, katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Pada masa sama, Bung turut menyifatkan perlantikan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak)) bagi mewakili negeri itu sebagai tidak seimbang.

Perkara itu berikutan terdapat perbandingan ketara dengan Sarawak yang diberikan lima portfolio kementerian termasuk Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Bagaimanapun Bung berharap keputusan Anwar itu tidak bermaksud meminggirkan Sabah dalam aspek pembangunan khususnya membabitkan isu berkaitan pelaksanaan projek infrastruktur di negeri itu.

“Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018,” ujarnya.

Terdahulu, pengumuman kabinet Kerajaan Persekutuan yang baharu menyaksikan Sabah diberikan dua portfolio kementerian apabila Datuk Ewon Benedick dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Datuk Armizan Mohd Ali sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak).

Author

Pilihan Editor