HomeBeritaPolitikAda sebab kukuh Anwar lantik Zahid jadi TPM - Penganalisis politik

Ada sebab kukuh Anwar lantik Zahid jadi TPM – Penganalisis politik

CYBERJAYA: Pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri (TPM) menjadi kontroversi namun perlu bagi memberi kestabilan dalam pentadbiran yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata penganalisis politik.

Sebelum pengumumannya semalam, rata-rata rakyat Malaysia menggesa Anwar supaya tidak melibatkan ahli politik yang mempunyai kes mahkamah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan termasuk Ahmad Zahid yang dibicarakan atas 47 pertuduhan penyalahgunaan, rasuah dan pengubahan wang haram.

Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata, meskipun tindakan itu tidak popular, namun ia memberi motivasi kepada UMNO untuk terus menyokong Anwar buat masa ini.

“Dalam jangka pendek, tindakan Anwar akan menghalang UMNO daripada berpaling tadah. Keutamaan (Anwar) sekarang adalah untuk pentadbiran kerajaannya berterusan.

“Jadi, pelantikan Zahid sebagai TPM diharap dapat memanjangkan (kelangsungan kerajaan),” katanya seperti dilapor Malay Mail hari ini.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ahmad Zahid, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), secara tidak disangka-sangka mengisytiharkan sokongan gabungannya kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri apabila beliau perlu bersaing dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan Ahmad Zahid mendatangkan risiko kepada dirinya sendiri kerana perseteruan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN sebelum ini susulan sebilangan pemimpin parti itu menolak kerjasama dengan PH, termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Di sebalik pemberontakan yang menggerunkan, Ahmad Zahid akhirnya dapat menyatukan UMNO dan BN sepenuhnya di belakang Anwar, membawa yang lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketika ditanya sama ada pelantikan itu akan menjejaskan kredibiliti kerajaan Anwar – terutamanya apabila beliau bersusah payah menegaskan “tiada rasuah” sebagai salah satu keperluan untuk bekerjasama dengan PH – Oh berkata, survival kerajaan perlu diutamakan sebelum pendiriannya.

“Kredibiliti adalah ciri jangka sederhana hingga panjang; kelangsungan hidup adalah keutamaan jangka pendek.

“Tunggu sehingga kes mahkamah itu dibicarakan,” kata Oh, sambil menambah bahawa kerajaan perpaduan nasional hanya meniti hari demi hari untuk kelangsungannya.

Author

Pilihan Editor