KUALA LUMPUR: Kehidupan penghidap Dissociative Identity Disorder (DID) iaitu bertukar pelbagai personaliti secara frekuensi ada keistimewaan tersendiri buat penghidapnya.
Melihatnya sebagai rahmat Tuhan, penghidap DID, Belle, 23 yang memiliki 30 personaliti berkongsi pengalamannya hidup bersama personaliti yang amat bijak sehingga berjaya memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira lima tahun lalu.
“Ketika persediaan SPM dengan diri asal saya ini, saya bukanlah dikategori sebagai pelajar bijak dan sukar beri fokus kepada pelajaran kerana isu ‘pertukaran roh’ yang berlaku pada bila-bila tanpa kawalan.
“Masa saya banyak dihabiskan dengan isu ini yang menyebabkan ketika peperiksaan percubaan, saya cuma dapat 2A sahaja.
“Namun berlaku pertukaran alter bernama Nathalia Anderson menjelang peperiksaan.
“Saya tidak ingat saya buat apa dalam peperiksaan (SPM) ketika itu. Nathalia Anderson seorang yang faham Bahasa Melayu, dan sangat bijak.
“Hasilnya saya memperoleh 8A dalam SPM tanpa saya tahu bagaimana saya berjaya ke tahap itu,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Dalam pada itu, Belle berkongsi pengalamannya pernah ditegur pegawai peperiksaan yang menyemak namanya dan terkejut kenapa ditulis nama lain iaitu Nathalia.
“Kawan saya sebelah pun hairan kenapa saya tulis nama Nathalia, namun saya ditegur untuk menulis semula nama asal.
“Saya memang tidak sedar langsung apa yang berlaku setiap kali berlaku pertukaran,” katanya.
Walaupun ada kelebihan tersebut namun bukan mudah menjadi penghidap DID kerana sering diejek sebagai gila oleh guru dan kawan-kawan.
Rakan Belle yang dikenali sebagai Lyaa menceritakan pengalamannya menyaksikan bagaimana ketika Belle bertukar kepada frekuensi wanita seperti Breanna, Fyona, atau, Layla mereka akan berasa teramat sakit apabila datang haid.
“Berbanding ketika Belle bertukar frekuensi lelaki masing-masing akan tetap jalan dengan tenang, bersahaja tanpa rasa apa-apa, ” katanya.
Ketika ditanya bagaimana ketika bertukar lelaki, jika berlaku tempoh haid, Lyaa menceritakan Belle ketika itu sudah ‘fronting’ (frekuensi lain muncul) sebagai Nick dan masuk ke tandas.
“Tiba-tiba dia keluar menggigil, sambil menangis mengatakan dia bakal mati kerana pertama kali tengok darah di bahagian alat sulit.
“Kami bawa ke kereta untuk bantu dia pakai pad (tuala wanita), tetapi dia tak reti jadi saya terpaksa ajar, dan dia nak pakai dalam kereta juga, tak mahu di tandas. Bila dia pakai, dia lega tetapi berjalan agak terkangkang,” katanya.
Menerusi siri pertama dan kedua Bongkar MEDIA VARIASI mengupas kisah hidup Belle dengan beberapa keanehan yang tiada jawapan saintifik sehingga ke hari ini.
Belle yang memiliki 30 personaliti yang berusia antara enam tahun hingga 43 tahun serta jantina wanita dan lelaki ini berkongsi pengalaman luar biasa sebagai penghidap DID.
Bercakap soal makanan, agak mengejutkan apabila Belle yang sememangnya alah makanan kacang sejak kecil yang menyebabkan kulitnya gatal, bengkak dan kemerahan namun apabila ‘bertukar roh’ lain alahan itu hilang.
Belle yang tidak memakai cermin mata apabila bertukar kepada frekuensi Natalia, Nae’em dan Delila terpaksa memakai cermin mata kerana rabun dan anehnya berbeza personaliti memiliki kuasa kanta lekap berbeza, namun Nathalia adalah paling rabun teruk.
Jika isu DID ini berlaku di luar negara pastinya ada pihak sanggup melakukan kajian khusus untuk melihat ‘supernatural’ yang ada pada diri penghidap sehingga mereka mampu melakukan perkara di luar kebiasaan mereka.
IKUTI KISAH SELANJUTNYA GADIS 30 PERSONALITI DI MEDIA VARIASI