CYBERJAYA: Tragedi tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali nyata menjadi perhatian ramai khususnya dalam kalangan para sukarelawan.
Perkara itu turut menjadi tumpuan buat sukarelawan bencana, Azwan Omar atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Viva’.
Menurut Azwan, 30, pihaknya menerusi Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang V-Va juga berhasrat untuk turun padang ke lokasi kejadian bagi menghulurkan bantuan namun misi itu terpaksa dibatalkan.
“Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang V-Va bukan sahaja untuk misi banjir tapi di daftarkan untuk semua bencana termasuk tanah runtuh.
“Tapi untuk misi ke Father’s Organic Farm saya dah call bilik gerakan dan disebabkan kat dalam sana dah terlalu ramai, NGO saya tidak dibenarkan ke sana,” maklumnya menerusi perkongsian di Facebook.
Perkara itu dimaklumkannya berikutan nama Abang Viva menjadi seruan tatkala Malaysia dilanda bencana alam rentetan sebelum ini, Azwan sanggup tampil dari Melaka ke Selangor demi membantu mangsa banjir pada Disember tahun lalu.
Meskipun Azwan tidak dapat menghulurkan bantuan pada tragedi tanah runtuh kali ini, dia selaku wakil Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang V-Va berharap orang ramai dapat sama-sama mendoakan misi pencarian mangsa berjalan dengan lancar.
“Takziah untuk semua mangsa. Bantu tanpa mengira bangsa dan agama. Bersatu hati,” ujarnya.