KUALA LUMPUR: Dua sahabat baik Belle, gadis yang bertukar 30 personaliti secara frekuensi dan didiagnos menghidap Dissociative Identity Disorder (DID) mahu netizen dan masyarakat di luar sana cuba memahami dan bukan menghukum.
Ini kerana masih ada kata-kata nista yang menohmah rakan mereka sebagai gila, berhalusinasi, mereka cerita dan sebagainya walaupun mereka tidak pernah mengenali rapat jauh sekali bertentang mata dengan penghidap DID.
MEDIA VARIASI menerusi siri Bongkar mendedahkan sisi kehidupan penghidap DID, Belle, 23, yang memiliki 30 personaliti termasuk jantina wanita, lelaki, usia antara enam tahun hingga 43 tahun yang dialaminya sejak lima tahun lalu.
Keadaan yang dialaminya bukan berniat mempersendakan agama kerana setiap kali ‘bertukar roh’ ia di luar kawalan dan paras sedar.
Belle sebelum ini berkongsi pengalamannya hidup bersama personaliti yang amat bijak sehingga berjaya memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira lima tahun lalu.
Lebih mengejutkan apabila Belle yang sememangnya alah makanan kacang sejak kecil yang menyebabkan kulitnya gatal, bengkak dan kemerahan namun apabila ‘bertukar roh’ lain alahan itu hilang.
Juga tiada penjelasan dari sudut perubatan apabila bertukar frekuensi kepada beberapa personaliti berbeza berkenaan ada yang matanya rabun dan memiliki tahap kuasa kanta lekap berbeza setiap kali pemeriksaan mata dibuat.
Menerusi laporan bongkar siri keempat isu DID ini, Belle berkongsi pengalamannya ketika bertukar personaliti lelaki yang bertentangan jasad asalnya.
Rakan kepada Belle iaitu Lya, 21, dan Mia, 22, tampil menjelaskan kepada masyarakat mengenai isu DID ini agar wujud kesedaran dan berharap golongan ini tidak terus dikecam atau terpinggir.
Kedua-dua sahabat Belle ini mula mengenali dan berhubung antara satu dengan lain menerusi aplikasi Tiktok.
Lya, pelajar jurusan kejuruteraan awam berkata, masyarakat di negara ini belum cukup faham dengan masalah kesihatan mental terutama DID melainkan penghidapnya sendiri.
Bagaimanapun, sikap keterbukaan mendorong Lya untuk lebih memahami DID kerana dia sendiri sememangnya seorang yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi selain suka mencari kajian tentang kesihatan mental.
“Benda alah (stigma tidak waras) kepada penghidap DID itu adalah sensitif. Sebenarnya semua orang ada isu kesihatan mental tetapi janganlah kita ‘invalid’ (tidak terbuka untuk menerima dan membantu) kesihatan mental mereka.
“Ramai orang salah tanggapan kepada penghidap DID, mengatakan mereka bahaya, agresif, tetapi sebenarnya tidak.
“Macam saya jenis terbuka dan ‘curiosity’ (ingin tahu) tinggi. Lebih baik saya bertanya orang yang mengalami daripada semata-mata mencari kajian itu sendiri,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI.
Menerusi siri pertama Bongkar MEDIA VARIASI, masalah DID berpunca daripada trauma lebih teruk di masa lampau.
DID, masih baharu dalam masyarakat di negara ini, masalah yang sangat jarang ditemui dan tiada kajian mengenainya hanya dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental.
Belle bagaimanapun sanggup tampil di khalayak ramai melalui aplikasi akaun Tiktok miliknya semata-mata untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai DID agar masyarakat lebih memahami daripada mudah jatuh hukum.
Tambah Belle pertukaran personaliti tidak boleh dipaksa atau pilihan sendiri, ia berlaku secara spontan.
Lya mengenali Belle melalui aplikasi Tiktok dan mula rapat dengannya selepas gadis itu ‘kantoi’ menyebut nama orang lain (alter atau personaliti) ketika bersiaran langsung.
“Kami kenal daripada Tiktok. Saya tengok ‘content’ dia, FYP keluar. Ketika itu saya hairan juga tengok Belle sekejap lelaki sekejap perempuan, tiba-tiba bertudung.
“Sehingga ada satu hari, dia kantoi sebut nama, dan masa itu juga dia buka cerita di Whatsapp beritahu dia ada surat diagnosis.
“Belle ada ingatkan supaya tidak dedahkan perkara itu kepada sesiapa kerana tidak mahu digelar ‘attention seeker’. Kami pun buat keputusan duduk sama-sama bantu,” katanya.
Lya berkata, mereka juga ada merujuk aplikasi berkaitan DID untuk lebih kenal wajah dan karakter 30 personaliti Belle yang lain.
Seorang lagi rakan Belle, Mia pula berkata, sebagai sahabat, dia dan Lya sentiasa berada di samping Belle kerana perlu membantu gadis itu jika tiba-tiba bertukar personaliti kerana tidak menjangka sama ada karakter yang akan ‘fronting’ lelaki atau perempuan, ataupun kanak-kanak.
“Kami sama-sama faham sistem ruang minda pada Belle. Kami akan membantu dia jika dia tiba-tiba jatuh ke lantai atau pengsan kerana waktu itulah Belle akan bertukar kepada personaliti lain.
“Memang kami akan bersama ke mana-mana kecuali salah seorang ke kelas atau bekerja. Sebab Belle pernah jatuh kelepet ke lantai sebab masa itu memang nak bertukar, tapi kami sempat sambut dan buat-buat macam tak ada apa yang berlaku,” kata pekerja runcit itu.
Kadangkala, Lya dan Mia sendiri perlu melayani Belle seperti ibu (Mia) bapa (Lya) kepada anak kecil kerana ada personaliti Belle berusia tiga dan enam tahun menganggap mereka begitu.
Belle berkata, perwatakan Lya seakan-akan lelaki dan kasar manakala Mia lebih lemah lembut berbicara menyebabkan personaliti kanak-kanak Belle memanggil Lya sebagai Daddy dan Mia sebagai Mummy.
Lya dan Mia adalah orang yang paling mengenali masalah yang dihadapi Belle, dan mahu masyarakat di luar sana memberikan sokongan dengan memberikan semangat dan kata-kata positif supaya Belle sembuh seperti sedia kala.
Pelbagai insiden di luar jangka berlaku, selain ada juga isu seperti tempoh haid perempuan, alahan, akademik, kemahiran, kesihatan dan agama membabitkan hampir 30 personaliti atau frekuensi yang berumur tiga hingga 43 tahun dalam dirinya.
Kesimpulannya, jangan mudah menghukum sebaliknya usaha untuk memahami punca dan bagaimana cara mengenali golongan ini serta membantu mereka agar boleh meneruskan hidup dalam masyarakat.
IKUTI SIRI BONGKAR GADIS 30 PERSONALITI DI MEDIA VARIASI