HomeBeritaKBS main peranan besar pastikan proses demokrasi libat suara belia

KBS main peranan besar pastikan proses demokrasi libat suara belia

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim melihat antara cabaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ialah memainkan peranan besar memastikan proses demokrasi melibatkan suara golongan muda.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata demikian pada sidang media selepas memulakan tugasnya secara rasmi di Menara KBS sekitar jam 9.53 pagi pada Isnin.

Adam berkata, awal pagi tadi beliau telah menyertai mesyuarat khas bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping taklimat sebelum memulakan tugas bagi Timbalan Menteri.

Menurutnya, sesi libat urus selepas ini akan lebih aktif dalam kementerian.

“Dan cabaran ke hadapan ini saya lihat bagi KBS daripada segi praktiknya, mungkin sebelum ini kita lihat KBS banyak ke arah penganjuran program-program belia serta program-program sukan.

“Tetapi kita juga berhadapan dengan satu zaman baharu di mana golongan belia terutamanya berusia 18 tahun selepas Undi18 digazetkan, kita nampak keterlibatan dalam proses demokrasi itu sekarang lebih berkembang.

“Maka saya percaya bahawa KBS dapat memainkan peranan yang lebih besar dan jelas dalam memastikan proses demokrasi di negara ini dapat melibatkan terutama suara golongan muda ‘and we are looking forward to it’,” katanya.

Terdahulu, Adam berkata pada sidang yang sama bahawa beliau telah diberitahu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkenaan sedikit sebanyak hala tuju kepimpinan kementerian itu.

Jelasnya, dengan ini kementerian dapat sedikit sebanyak menjana beberapa arus baharu untuk pergerakan dan perkembangan terutamanya golongan belia dan juga sukan.

“Seperti yang dimaklumkan Menteri sebelum ini, bahawa kita beri tumpuan kepada pemerkasaan dasar-dasar yang telah digariskan sebelum ini dan memastikan pelaksanaan program-program yang telah pun dibuat itu dapat dijalankan dengan baik dan berkesan serta diharapkan dapat menjaga integriti dan keutuhan dalam kementerian ini,” katanya lagi.

Berita berkaitan: Adam harap dapat bawa KBS bertindak lebih bersasar dan berkesan [VIDEO]

Berita berkaitan: Pentingnya proses pendekatan berkait demokrasi belia negara [VIDEO]

Author

Pilihan Editor