HUNAN: Tidak pernah memasang impian untuk menjadi jutawan, tiba-tiba akaun simpanan seorang lelaki berubah angka sebanyak RM780 juta, sekelip mata sekali gus bergelar jutawan.
Lelaki yang dikenali sebagai Liu itu dikatakan menerima ‘durian runtuh’ sebaik memohon kad kredit baharu di sebuah bank pertanian, di Changsa, Hunan, pada jam 3 petang, minggu lalu.
Ketika dalam perjalanan pulang dari bank tersebut, Liu menerima sistem pesanan ringkas (SMS) dari pihak bank menyatakan wang sebanyak 1,212,405,360 Yuan (RM780 juta) ke akaun simpanannya.
Bagaimanapun, Liu kembali semula ke kaunter bank kira-kira jam 6 petang hari sama.
Rupa-rupanya, 1212405360 adalah nombor akaun bank Liu tetapi atas kecuaian kakitangan bank, nombor itu telah dikreditkan secara tidak sengaja ke dalam akaun simpanannya sehingga menjadi 1,212,405,360 Yuan.
Kemunculan Liu sememangnya melegakan pegawai bank kerana ia berpunca daripada kesilapan kakitangan bank sendiri.
Walau hanya tiga jam bergelar jutawan, ia tetap tidak akan dilupakan dan akan menjadi ingatan Liu sepanjang hayatnya.
Susulan kejadian itu, Liu diberikan ‘ang pau’ sebanyak 200 Yuan (RM130) sebagai sagu hati oleh pihak bank, atas kerjasama diberikannya.
Difahamkan, kakitangan bank yang menguruskan transaksi tersebut adalah kakitangan baharu yang masih belum mahir mengendalikan kerja yang diberikan kepadanya.