HomeBeritaViral'Prank' baling kek ke muka wanita hanya lakonan, Daing mohon maaf kepada...

‘Prank’ baling kek ke muka wanita hanya lakonan, Daing mohon maaf kepada rakyat Malaysia

CYBERJAYA: Kejadian ‘prank’ seorang wanita yang dibalik kek ke mukanya ketika sedang membawa anak Orang Kurang Upaya (OKU) berjalan-jalan di taman rekreasi itu rupanya hanyalah lakonan semata.

Terdahulu, tular baru-baru ini di media sosial video TikTok memaparkan kejadian tersebut yang dibuat seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Daing Ellando.

Video kejadian tersebut menaikkan kemarahan ramai warga maya sehingga ramai mengecam ‘prank’ dianggap bodoh itu dan menggesa supaya orang ramai mencari pemuda itu.

Namun, selepas itu, Daing mengeluarkan satu video penjelasan bersama dengan wanita tersebut menyatakan bahawa kejadian ‘prank’ tersebut hanya lakonan semata-mata.

Wanita tersebut yang juga merupakan mak angkat kepada Daing berkata, dia melakukan lakonan tersebut bagi membantu Daing.

“Saya ingin menyatakan di sini, saya adalah diantara orang yang berlakon dalam video TikTok tersebut.

“Saya diberi tugas untuk melakonkan watak sebagai ibu yang membawa anak OKU yang mana saya di’prank’ dengan menggunakan kek dan saya bersetuju untuk melakukan watak itu demi untuk membantu anak-anak muda berkerjaya dalam TikTok dan terus mencapai kejayaan dan sukses,” katanya.

Menurut Daing, ‘prank’ itu dibuat bagi melihat jika masyarakat di sekeliling prihatin dengan nasib mangsa yang dibuli di depan mata mereka.

“Tetapi dalam masa yang sama kita bukannya nak ‘prank’ sangat mak ini, kita nak ‘prank’ orang di sekeliling sama ada orang itu prihatin atau tidak benda itu.

“Tetapi mak terkejut kan masa itu, tak ada orang yang ambil peduli pasal mak.

“Kalau tak masa itu mungkin orang dah tangkap saya, kejar dan tumbuk, tetapi kenapa bila video itu dah naik dan viral baru orang nak cari saya, itulah persoalan yang kami ingin persoalkan kepada semua,” jelas Daing.

Pada masa sama, wanita itu turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan lakonannya dalam video ‘prank’ yang tular itu.

“Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang menyangka saya telah di’prank’ dan saya juga rasa saya sangat kesian kepada Daing sebab tujuan saya membantu dia supaya dia lebih sukses tetapi akhirnya dia menjadi viral, menjadi kutukan, kecaman dan yang paling teruk ada yang mengugut bunuh dan sebagainya.

“Saya sayang dia dan saya harap benda ini tidak berterusan dan kita semua jangan terlalu mengikut emosi kerana lakonan ini bertujuan kesedaran kepada semua bahawasanya kita rakyat Malaysia bukannya nak tolong pun kalau ada orang tua atau cacat dibuli, jarang ada yang datang nak membantu.

“Itu yang saya nampak sendiri sebab saya mengalami situasi itu,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor