HomeBeritaMudarat lebih besar jika bersama PN - Ahmad Zahid

Mudarat lebih besar jika bersama PN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Pimpinan UMNO-BN mengutamakan kerjasama yang kurang memberi kemudaratan dalam meneruskan kesinambungan agenda perjuangan parti khususnya demi agama Islam dan orang Melayu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan analisis politik jangka masa sederhana dan panjang, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan parti yang lebih banyak memberi kemudaratan.

Katanya, keputusan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk Kerajaan Perpaduan itu merupakan kesediaan melakukan perubahan demi memastikan perjuangan UMNO kekal relevan dalam lanskap politik yang bersifat dinamik.

“Kita lihat dari segi mudarat. Mana mudaratnya yang lagi besar? Dengan PN (Perikatan Nasional) atau dengan PH? Kami lakukan analisis politik bukan hanya analisis politik sekarang. Analisis politik untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang. Mudarat mana yang kurang dan boleh terus pastikan UMNO relevan.

“Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan dengan PN lebih banyak mudaratnya sebab mereka bertanding di kawasan yang sama kita bertanding iaitu kawasan yang mempunyai kelompok pengundi-pengundi Melayu.

“Mereka menang 73 kerusi ketika itu. Sekarang 74 kerusi selepas menang Padang Serai. Tentunya kita akan berperang di gelanggang yang sama.

“Dalam PH kita lihat dari segi analisis politik dan kita lakukan beberapa unjuran bahawa potensi besar untuk kita menang semula kawasan-kawasan yang kita kurang undi dahulu boleh kita gali semula potensinya.

“Saya tidak riak tetapi saya fikir hal ini lebih baik kalau kita bersama-sama dengan PH untuk survival, kesinambungan jangka panjang kepada UMNO-BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu gabungan bersama PH dalam membentuk kerajaan menerusi program ‘Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara?’ yang bersiaran secara langsung, di NR Channel TV malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi peluang kepada wakil partinya yang dilantik sebagai menteri penuh.

“Kita sudah cukup bernasib baik. Kita hanya menang 30 kerusi diberikan enam jawatan menteri penuh. Ada sebuah parti itu, menang 40 kerusi lebih daripada kita tapi dapat empat kerusi saja,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mendedahkan hanya dua ahli MT UMNO menentang cadangan gabungan dengan PH sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Harus diingatkan dalam MT, kita berbeza pendapat tapi apabila sesuatu keputusan itu sudah dicapai mereka sepakat. Saya tidak mahu berkongsi di ruang ini untuk bercerita berapa orang yang tidak setuju. Saya ingin sebut, tidak lebih daripada dua orang yang tidak setuju daripada seluruh ahli MT yang ada.

“Jadi adakah itu tidak demokratik? Adakah saya menggunakan kuasa autokratik? Atau saya seorang diktator yang membuat keputusan sendiri? Saya menjaga kepentingan parti sendiri kerana ini amanah yang diberi oleh perwakilan,” katanya.

Ketika ditanya berkaitan sangkaan kekalahan BN pada PRU15, Pengerusi BN itu mendedahkan beliau terhidu banyak ‘bangkai tikus’ dalam parti ketika menghadapi pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, situasi itu juga merupakan salah-satu penyumbang kepada kekalahan teruk BN.

“Saya tidak pernah menduga. Jika adanya penyatuan, rasa kekitaan dan juga kerja sepasukan dengan sepenuhnya dalam UMNO-BN…tapi saya terhidu bangkai tikus di banyak tempat.

There is always skeleton in the cupboard.

“Jadi, bagaimana sebuah organisasi mahu menang besar jika banyak masalah melayani perbezaan, melayani kepentingan peribadi, melayani kepentingan kelompok menjadi keutamaan berbanding kepentingan parti pada keseluruhannya,” katanya.

Turut dibangkitkan, isu membabitkan akuan bersumpah 10 Ahli Parlimen BN, Ahmad Zahid berkata, beliau memilih untuk memaafkan dan melupakan perkara itu.

“Saya beginilah, forgive and forget…Ya kita sentiasa berjaga-jaga.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula ahli-ahli politik. Semuanya bercita-cita tinggi. Kita santunilah semua perbezaan-perbezaan itu,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor