IPOH: Pelbagai isu berhubung projek pembinaan jalan raya, longkang dan pelbagai infrastruktur lain dalam kawasan Tambun dijangka selesai bulan depan selepas pemegang taruh dan pihak berkaitan dibawa berbincang untuk mengatasi sebarang masalah yang berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pihaknya telah berbincang dan mendengar masalah yang dihadapi oleh syarikat yang bertanggungjawab dengan projek berkenaan, supaya projek-projek berkenaan dapat disiapkan segera.
“Kita perlu adil dan mendengar maklumat daripada kedua belah pihak. Kawasan Parlimen ini (Tambun) di bawah Perdana Menteri kita, dan rakyat telah pun memberi kepercayaan (kepada Perdana Menteri). Kita mahu pastikan masalah (projek) tidak berulang lagi,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan bantuan makanan dapur bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun kepada 30 penerima di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun, Anwar telah meminta agar pembangunan berkaitan keperluan rakyat di kawasan Parlimen Tambun seperti isu jalan raya dan infrastruktrur diutamakan, diselesaikan segera.
“Beliau (Anwar) mengingatkan mengenai pembangunan yang perlu diutamakan, dan dia bagi green light berkaitan apa-apa keperluan dalam Parlimen ini dibuat melalui surat kepadanya, dan akan diluluskan jika ia menepati keperluan rakyat kerana peruntukan telah tersedia,” katanya. – BERNAMA