HomeBeritaMenteri, MP santuni waris korban tragedi Batang Kali, beri sumbangan BWI

Menteri, MP santuni waris korban tragedi Batang Kali, beri sumbangan BWI

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali menyantuni waris mangsa korban yang terbabit dalam tragedi di Batang Kali, hari ini.

Pada masa sama, belia yang hadir bersama Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, turut menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kematian kepada mereka.

Menurut Armizan, keluarga atau waris setiap mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi berkenaan menerima BWI Kematian sebanyak RM10,000, manakala untuk mangsa yang selamat akan menerima BWI berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga.

“Hari ini saya menyampaikan BWI Kematian kepada dua waris mangsa iaitu Tong Chee Kong yang kehilangan isteri dan anak lelaki (RM 20,000) dan Siti Esah Hassan yang kehilangan anak perempuan (RM10,000).

“Setakat hari ini, waris kepada 11 mangsa meninggal dunia telah menerima BWI kematian. Manakala urusan penyaluran BWI Kematian kepada 20 lagi waris mangsa yang meninggal dunia dan BWI kepada 45 mangsa yang selamat akan disalurkan dalam masa terdekat.

“Mangsa-mangsa yang terlibat adalah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas menziarahi waris mangsa, Siti Ehsan di Kampung Batu, pada Rabu.

Tambahnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan menyalurkan peruntukan segera sebanyak RM480 ribu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Jelasnya, peruntukan itu bagi membolehkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kerja-kerja penyiasatan tapak cerun runtuh di laluan B66 seksyen 14.0 Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor.

Untuk rekod, operasi mencari dan menyelamat 92 mangsa terlibat tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali telah berakhir pada 24 Disember lalu setelah mayat terakhir dijumpai.

Daripada jumlah tersebut, seramai 61 orang telah berjaya diselamatkan dan 31 orang meninggal dunia.

Author

Pilihan Editor