HomeBeritaMufti tegur gelaran 'priest' pada anak PM8

Mufti tegur gelaran ‘priest’ pada anak PM8

KUALA LUMPUR: Sebagaimana gelaran ustaz tidak wajar diberikan kepada individu tiada pentauliahan mengajar, begitu juga istilah ‘priest’ yang digunakan orang Islam sebagai identiti diri.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, orang Islam menggunakan gelaran seperti ‘priest’ boleh disalah anggap kerana ia biasanya merujuk kepada pembesar dalam agama lain.

Wan Salim berkata, perkara demikian boleh dianggap sebagai syubhah, dan boleh menjadi lebih buruk apabila membawa kepada haram.

“Ia dipanggil syubhah (kerana) itu nama panggilan kepada pembesar dalam agama lain. Maknanya nama yang mengelirukanlah,” katanya dilaporkan Malaysiakini.

Wan Salim berkata, gelaran ‘priest’ selalunya digunakan untuk pemimpin agama Kristian.

“Dalam Islam tak ada istilah ada paderi atau ‘priest’, yang ada haji, ataupun ulama kalau seseorang itu ada ilmu.

“Justeru istilah ‘priest’ itu digunakan dalam agama selain daripada Islam… tepatnya agama Kristianlah,” tambahnya.

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad, turut senada dengan Wan Salim, malah mempersoal tujuan gelaran itu digunakan, sama ada sekadar tujuan bersuka-suka atau berbangga-bangga.

“Kalau dia dah berbangga-bangga dengan agama itu, memang dilarang Islam,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, tindakan itu mungkin dikecuali dan dimaafkan jika individu terbabit bertindak sedemikian dalam keadaan jahil.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu memang dilarang Islam kerana boleh membawa kesan buruk termasuk mengelirukan orang awam serta mengundang fitnah.

”Dalam hadis nabi ada disebutkan bahawa sesiapa yang cuba menyerupai perbuatan agama lain, maka dia sebahagian daripada mereka itu.

“Itu tanda kemarahan (larangan keras) Islam, dengan bahasa lain, ia ditegah,” katanya.

Mohamad Shukri juga menasihati orang Islam agar lebih berhati-hati dengan sebarang tindakan membabitkan agama.

Katanya, memadailah untuk seseorang Muslim berbangga dengan ciri serta ajaran Islam dan tindakan mencampur-adukkan dengan agama lain boleh dianggap sebagai mempersenda Islam.

Baru-baru ini, ramai pihak terkejut apabila anak lelaki Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikenali sebagai Farhan, seorang deejay (DJ) dan produser muzik berpangkalan di Kuala Lumpur menggunakan gelaran ‘Moslem Priest’, tular di aplikasi Tiktok.

Untuk makluman, Moslem Priest amat dikenali dalam kalangan pemuzik genre muzik tarian elektronik (grime), techno, dan hip hop di kelab disko, dengan pemakaian tradisional Nusantara iaitu songkok dan sering berbaju hitam sebagai identiti diri.

Beberapa video tular di TikTok memaparkan anak pemimpin nombor satu PN itu sedang memegang mikrofon sambil menyanyi rap di sebuah kelab, dengan kapsyen ‘anak PM ke-8’.

Author

Pilihan Editor