HomeBeritaSeludup barang terlarang ke penjara guna dron, tiga lelaki ditahan

Seludup barang terlarang ke penjara guna dron, tiga lelaki ditahan

KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga orang lelaki yang dipercayai menggunakan dron untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang telah terima maklumat berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara kira-kira jam 1.05 pagi pada 12 Disember lalu.

Menurutnya lagi, dron berkenaan dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang.

“Susulan itu, pihak kami telah berjaya mengesan peranti yang digunakan di kawasan berdekatan iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret, Machang.

“Semasa serbuan dilakukan, tiga lelaki berusia 35 hingga 39 tahun bertindak tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Honda CRV dan memecut laju melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek itu berjaya ditahan di Jalan Utama Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Bukit Belah, Machang.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta dan tiga suspek membawa kepada penemuan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau, 20 biji mercun bola, 13 bungkusan tembakau dan alat kawalan jauh dron model rc123.

“Turut ditemui ialah lima unit telefon bimbit, dua unit power bank, satu bilah parang, sabit, alat penimbang digital, dua gulung dawai besi, plastik pembalut dan tiga gulung tali nylon berwarna kekuningan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek telah disiasat atas kesalahan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

“Pada 19 Disember lalu mereka telah dituduh di Mahkamah Majistret Machang dan telah mengaku bersalah untuk kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Penjara 1995 baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Pada 20 Disember, salah seorang daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan mengaku bersalah di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957,” katanya.

Jelasnya, suspek dijatuhkan hukuman penjara lima tahun setiap satu pertuduhan serta satu sebatan dan hukuman berjalan serentak.

Author

Pilihan Editor