CYBERJAYA: Kemunculan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyampaikan laporan kaji cuaca di siaran berita saluran televisyen RTM pada Rabu menerima reaksi positif.
Rata-rata warga maya di media sosial menunjukkan rasa teruja menonton laporan kaji cuaca tersebut dan memberikan komen-komen positif terhadap penyampaian berita beliau itu.
“Kita gaduh dan suami, tak percaya Siti ke tu pengulasnya (percayalah, itu Siti Nurhaliza),” seloroh pengguna TikTok, @syarifah.florist.
“Pertama kali tengok info cuaca sampai habis,” ulas pengguna TikTok, @cikpuanarra pula.
“Walaupun berita cuaca ribut taufan, apabila Siti Nurhaliza yang jadi penyampainya, kita rasa selamat dan tenang, hai Siti Nurhaliza,” kata pengguna TikTok, @aku_hambadunia.
“Wahh baguslah RTM sekarang mengikut perkembangan terkini,” puji pengguna TikTok, @whfaz.
“Tolong RTM kekalkan untuk sebulan dua, mesti ‘ranking’ televisyen naik. Saya pertama kali menghadap televisyen ini tengok berita jam 8 pula,” ujar pengguna TikTok, @anna_anne25.
“Pertama kali tengok info cuaca ulang dua kali,” kata pengguna TikTok, @suleiman_akhlaken7.
Siti Nurhaliza dalam laporan kaji cuaca itu menyampaikan bahawa walaupun hujan lebat masih berterusan sejak beberapa hari lepas di sekitar Pantai Timur Semenanjung Malaysia, namun intensitinya semakin berkurangan.
“Walaubagaimanapun, amaran hujan berterusan masih lagi berkuat kuasa terutamanya untuk kawasan di sebelah Timur Selatan.
“Bagi mereka yang berada di kawasan rendah dan berisiko, nasihat saya simpanlah barang berharga anda dan dokumen penting dalam beg yang mudah dibawa.
“Segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mengikut arahan pihak berkuasa. Tiada yang lebih berharga berbanding nyawa anda. Harta boleh dicari, namun nyawa anda tiada galang gantinya,” pesan Siti Nurhaliza dalam laporan pada Rabu itu.