HomeBeritaTanah runtuh: Empat lagi mayat ditemukan

Tanah runtuh: Empat lagi mayat ditemukan

BATANG KALI: Memasuki hari keenam pencarian, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui empat mayat mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan empat mayat berkenaan terdiri daripada dua orang kanak-kanak perempuan, seorang wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa.

“Kemaskini sehingga jam 11.04pagi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Operasi Tanah Runtuh Jalan Batang Kali – Genting Highlands telah berjaya menemui empat orang mayat mangsa iaitu dua orang kanak-kanak perempuan, seorang wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa di Sektor C iaitu di sekitar kawasan River Side.

“Ini menjadikan jumlah mangsa korban tanah runtuh yang berjaya ditemui adalah sebanyak 30 orang.

“Operasi SAR ini yang telah masuk hari ke-7 akan diteruskan lagi bagi mencari baki 3 lagi mangsa yang masih belum dijumpai,” maklumnya.

Untuk rekod, setakat jam 12 tengahari ini, seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berkenaan pada Jumaat lepas dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat, 30 disahkan terkorban manakala tiga mangsa masih belum ditemui.

Author

Pilihan Editor