HomeBeritaMaritim Malaysia berjaya selamatkan Puteri Mahsuri

Maritim Malaysia berjaya selamatkan Puteri Mahsuri

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan sebuah kapal layar yang hanyut tanpa sauh di perairan Langkawi iaitu kapal layar Puteri Mahsuri pada Khamis.

Maritim Malaysia berkata, pihaknya melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan daripada Pusat Operasi Mawila 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengenai kapal yang hanyut akibat terputus rantai sauh itu sekitar jam 8 pagi tadi.

Menurutnya, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksmana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, MRSC Langkawi telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT pada jam 10 pagi untuk mencari dan memberi bantuan sewajarnya.

Operasi mengesan dan membantu kapal layar Puteri Mahsuri itu telah digerakkan oleh Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Diraja (KD) Lekiu.

“Dalam kejadian itu, kapal layar Puteri Mahsuri yang telah lama bersauh di perairan Langkawi telah mengaktifkan sistem isyarat kecemasan dan isyarat diterima oleh Pusat Operasi Mawila 3 TLDM.

“KD Lekiu dalam perintah operasi telah mengesan kapal layar tersebut dan memberi bantuan awal pada jam lebih kurang 12 tengah hari.

“Kapal layar Puteri Mahsuri bersama empat kru warga Myanmar termasuk nakhoda berada di atas kapal layar tersebut telah hanyut sejauh lebih kurang 60 batu nautika ke arah sempadan Malaysia-Thailand,” kata Maritim Malaysia dalam satu kenyataan Facebook rasminya.

Maritim Malaysia khususnya Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis turut mengingatkan semua komuniti maritim supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca buruk.

Tambahnya, semua komuniti maritim juga perlu mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Author

Pilihan Editor