RAMALLAH: Dua beradik dilaporkan maut selepas dilanggar seorang pendatang Yahudi di Tebing Barat.
Mohammed Mutir dan Mohanad Mutair dilanggar ketika berada di persimpangan Zatera di selatan bandar Nablus di Tebing Barat, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Gabenor Baitulmaqdis.
Ketua Pejabat Qalandiya Gabenor Baitulmaqdis, Zakaria Feyale berkata, kedua-dua mangsa dilanggar ketika menunggu bantuan di tepi jalan untuk membaiki tayar kenderaan yang mereka naiki.
Mereka dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Qalandiya dari Nablus bersama ahli keluarga yang lain.
Mohammed maut di tempat kejadian, manakala Mohanad yang cedera parah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia, kata Feyale.
Pendatang Yahudi berkenaan didakwa melanggar kedua-dua mangsa dengan sengaja.
Suspek kemudian menyerah diri kepada tentera Israel di pusat pemeriksaan Zatera, menurut kenyataan Gabenor Baitulmaqdis. – BERNAMA