HomeBeritaJabatan Amal Malaysia akur tak dibenar bantu operasi SAR tanah runtuh

Jabatan Amal Malaysia akur tak dibenar bantu operasi SAR tanah runtuh

CYBERJAYA: Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Amal Malaysia (JAM), Shehdi Hazrik Shamsudin sebenarnya sudah menerima dan akur arahan yang dikeluarkan semalam oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Acryl Sani dalam kenyataannya mengarahkan bahawa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan membantu di kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di Genting.

Shehdi berkata, pihak JAM percaya selepas 24 jam mangsa runtuhan yang masih belum dijumpai dan tidak ada bukti kemungkinan masih hidup atau boleh diselamatkan dianggap sebagai kes mangsa korban atau hilang di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan misi siasatan.

Menurutnya, dalam tempoh 24 jam atau lebih mengikut tempoh sesuatu bencana itu, adalah tempoh misi mencari dan menyelamat yang diletakkan di bawah bidang kuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau mana-mana agensi penyelamat.

“Saya difahamkan kawasan tersebut diletakkan di bawah kawalan PDRM sebagai tempat kes siasatan orang hilang yang tidak boleh dimasuki oleh mana-mana individu tanpa kebenaran pihak PDRM dikhuatiri mengganggu siasatan.

“Bagi saya, ia bukan isu anggota Amal turun bantu tanpa kebenaran atau tidak terlatih, sekalipun ada yang sebut bahawa tempat tersebut tidak selamat dan sebagainya.

“Jika tidak selamat untuk turun dari awal lagi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan SMART tidak benarkan kami turun, tetapi dalam tempoh bidang kuasa JBPM, kami Anggota Amal mendaftar bertugas seperti biasa dan dibenarkan turun bagi membantu mencari dan menyelamat mangsa yang kemungkinan masih hidup lagi di kawasan SAR,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai penjelasan bagi mengelakkan pelbagai salah faham susulan arahan Acryl Sani dikeluarkan dan terdapat beberapa kenyataan mempertikaikan kehadiran Anggota Amal JAM yang turun membantu operasi SAR mangsa tanah runtuh.

“Saya ingin perjelaskan bahawa kehadiran kami di kawasan SAR pada hari pertama kejadian tanah runtuh di Batang Kali telah diterima baik oleh agensi kerajaan JBPM dan melalui proses dan SOP ketat.

“Justeru itu, kami menghormati bidang tugas pihak berkuasa dan tanpa kompromi akur segala arahan pihak berkuasa dan semalam walaupun tidak dapat turun membantu operasi SAR kami tetap hadir bagi menyampaikan bantuan makanan kepada petugas-petugas di lapangan,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Anggota Amal JAM pernah turun bersama pasukan JBPM dalam pelbagai misi SAR dan hampir semua tempat berbahaya namun dengan pemantauan dan ilmu yang diajar pihak JBPM.

Mereka telah turun dalam pelbagai misi SAR dengan selamat sebagai contoh Operasi SAR di Bukit Broga, Operasi Tengas Bukit Fraser, Operasi Sungai Kim Kim, operasi kanak-kanak lemas di Balakong, di Sungai Bakau dan banyak lagi.

Author

Pilihan Editor