PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan jabatan-jabatan kerajaan merangka serta membangun wahana atau kaedah bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) hari ini, Anwar berkata, Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal, yang turut memanfaatkan golongan maha kaya dan konglomerat, ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
“Sebagai contoh, Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10 peratus daripada angka itu yakni satu juta pengguna yang meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih daripada 50 peratus subsidi elektrik.
“Jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini,” kata beliau.
Mesyuarat NACCOL di Perdana Putra itu turut disertai kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri yang berkaitan serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pada 27 November lepas, Anwar mengarahkan NACCOL mencerakin dan menelusuri implikasi subsidi dalam tempoh dua minggu. Beliau dilaporkan berkata subsidi yang ditanggung kerajaan pada masa ini antaranya subsidi elektrik, dinikmati semua golongan walaupun ia sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan rakyat miskin.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak tiga kertas dibentangkan dalam mesyuarat hari ini yang mengupas isu, tantangan dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.
“Laporan-laporan itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna,” kata beliau dan menambah bahawa kerajaan juga konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan.
Anwar berkata sektor penternakan negara telah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport.
“Kerajaan berhasrat memudahkan industri ini untuk mengeksport ke luar produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan yang cukup untuk keperluan rakyat dan ini termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutamanya kepada pengusaha tempatan,” kata beliau.
Pada saat ini, katanya isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangan bekalan akan memberi impak yang buruk, justeru, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campur tangan kerajaan di peringkat pengguna.
“Mesyuarat NACCOL telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar telah disyorkan. Perkara ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet akan membuat keputusan esok,” kata beliau. – BERNAMA