HomeBerita'Fun fair' Puncak Alam beroperasi tanpa lesen - MPKS

‘Fun fair’ Puncak Alam beroperasi tanpa lesen – MPKS

PUNCAK ALAM: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengesahkan tapak pesta ria (fun fair) di Puncak Alam tidak mendapat kelulusan dan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, penganjur telah beberapa kali mengemukakan permohonan lesen hiburan, namun didapati tidak lengkap.

Katanya, penganjur sewajarnya mengemukakan permohonan lesen kepada Jabatan Perlesenan MPKS dalam tempoh 45 hari bagi mendapatkan ulasan daripada jabatan teknikal lain seperti Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta pihak polis.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada ulasan dan sokongan diterima dan mereka beroperasi tanpa kebenaran,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di tapak pesta ria yang mengakibatkan tiga mangsa cedera akibat terjatuh dari satu permainan di taman tema berkenaan pada Isnin malam.

Dalam insiden tersebut, seorang daripada mangsa iaitu wanita dilaporkan cedera parah, manakala dua lagi masih tidak diketahui status kecederaan.

“Oleh kerana kawasan ini tidak diserahkan lagi kepada MPKS, ia masih lagi di bawah pemilik tanah (pemaju) dan mereka beri kebenaran kepada penganjur untuk (pesta ria) beroperasi,” katanya. Justeru, tegas beliau, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Peruntukan 6 (1) Enakmen Hiburan dan tempat-tempat hiburan 1995.

“Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan dan pesta ria turut diarahkan tutup dan tidak boleh beroperasi sepenuhnya,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor