HomeMV+PendapatSyed Mokhtar beli saham media, ribuan pekerja diberhentikan

Syed Mokhtar beli saham media, ribuan pekerja diberhentikan

KETIKA ini tular kenyataan Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegur monopoli syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) milik taikun perniagaan terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.

Anwar bimbang nasib pesawah yang belum terbela, Kedah Negeri Jelapang Padi masih lagi disenaraikan sebagai negeri termiskin di Malaysia.

Beliau juga memaklumkan Bernas menjarah keuntungan berlipat ganda tetapi tahap ekonomi pesawah masih lagi menyedihkan dan tidak keluar dari kemiskinan.

Menamatkan monopoli Bernas nampak mudah, namun melaksanakannya memerlukan pendekatan terperinci.

Kedudukan serta fungsi Bernas sebagai penjaga industri padi dan beras tempatan perlu diambil kira, kerana soal jaminan keselamatan bekalan makanan negara turut dipertaruhkan.

Bernas diswastakan 1 Januari 1996, secara dasarnya mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).

Ia menyelenggara dan mengurus stok penimbang negara, membeli padi daripada petani dengan harga minimum dan terjamin, serta bertindak sebagai pembeli terakhir petani.

Bernas juga mengurus pembayaran subsidi kepada petani di bawah Skim Subsidi Harga Padi, selain menguruskan skim pengilang Bumiputera.

Anwar juga dipetik sebagai berkata, Syed Mokhtar telah membeli kepentingan syarikat Bernas sebanyak 31 peratus daripada Tan Boon Seng sekitar RM800 juta dan pegangan saham yang dipunyai Datuk Seri Shahidan Kassim pula adalah pada RM400 juta.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, Syed Mokhtar tidak boleh dibebankan sehingga kerajaan dapat meneliti keuntungannya sama ada pulangan itu berpatutan atau tidak.

Dan hari ini sekali lagi Perdana Menteri menyentuh tentang Bernas, katanya arahan Kerajaan Persekutuan untuk syarikat BERNAS menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan, bukan bertujuan merobohkan empayar Syed Mokhtar.

Sebaliknya, Anwar berkata, ia dilakukan untuk kepentingan rakyat dan pesawah miskin termasuk di Kedah.

Syed Mokhtar bersetuju untuk berkongsi rezeki beras kepada pesawah bermula bulan depan dan tidak mahu isu ini dijadikan sentimen politik atau Melayu.

Ya benar kita tidak menolak kebaikan Syed Mokhtar yang juga dikatakan ‘proksi duit’ kepada Tun Dr Mahathir Mohamad turut banyak melakukan kebajikan membantu rakyat sama ada depan lensa atau belakang lensa.

Namun di sebalik segala kebaikan dan publisiti itu, ada kisah yang kurang sedap didengar, pengalaman penulis sendiri sebagai warga media.

Pada September 2019, Syed Mokhtar yang merupakan pemilik TMR Media Sdn Bhd menerbitkan akhbar perniagaan The Malaysian Reserve membeli saham Media Prima yang menjadikannya pemilik aset media terbesar di Malaysia.

Syed Mokhtar melalui Aurora Mulia Sdn Bhd secara agresif menambah pegangan sahamnya dalam Media Prima Bhd  sebanyak 31.22 peratus pada September 2019.

Media Prima ialah konglomerat media yang menerbitkan akhbar, memiliki empat stesen televisyen dan mengeluarkan kandungan web di banyak platform, selain mempunyai studio produksi dan sebuah syarikat pengiklanan.

Perkara pertama dibuat pengurusan selepas Syed Mokhtar ambil alih adalah penstrukturan semula atau dengan kata lain memberhentikan ribuan pekerja secara berperingkat.

Media Prima mengeluarkan notis pemberhentian kerja kepada ribuan pekerjanya termasuk dari TV3, Harian Metro, Berita Harian, NST dan lain-lain pada Mac 2020.

Mungkin Syed Mokhtar tidak tahu senarai pekerja yang terjejas itu adalah termasuk penulis sendiri yang telah mengangkat nama Berita Harian dengan berita berkualiti sehingga memperoleh 25 anugerah media dalam tempoh empat tahun.

Anugerah diperolehi dari pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO malah dari Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Ia tahun yang amat mencabar, kesan keputusan Syed Mokhtar itu penulis melihat sendiri bagaimana ratusan rakan-rakan media dari TV3 bangkit membuat demonstrasi membantah mekanisme yang dianggap kejam itu.

Walaupun nasib petugas Media Prima lebih baik dari Utusan Malaysia iaitu diberi pampasan namun yang Syed Mokhtar tidak tahu bahawa senarai petugas yang diberhentikan itu adalah mereka yang memberi ‘nyawa’ kepada Media Prima.

Tidak perlulah penulis sebut nama-nama mereka tetapi tahu sumbangan mereka terlalu banyak, membawa anugerah dan menaikkan ‘rating’ di media sosial.

Tahun 2020 dilalui dengan dahsyat bagi mereka yang kehilangan kerja termasuk oleh warga Utusan Malaysia kerana tahun berkenaan pandemik melanda, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membatas segala urusan harian manusia.

Berbalik kepada isu beras yang dijadikan sentimen pihak tertentu, ya benar sebagai orang Melayu kita bangga Melayu tersenarai sebagai orang ke-15 terkaya di Malaysia yang membuktikan Melayu masih ada kekuatan dalam ekonomi.

Namun lebih indah jika golongan kayangan ini juga mengetahui sisi kehidupan rakyat marhaen bawahan, yang membanting tulang untuk kapitalis, apa kesan selepas keputusan pembuangan itu? Bagaimana keadaan mereka dan keluarga mereka meneruskan hidup lebih-lebih ketika kebetulannya berlaku tempoh pandemik ketika itu.

Adakah golongan kayangan ini turun padang melihat kesan ke atas kehidupan rakyat bawahan? Tanya khabar mereka yang berjasa bukan sekadar menganggap mereka sebagai pakai buang atau sampah sahaja?

Tiada satu pun program untuk memastikan mereka mendapat kerja atau bangkit semula, golongan miskin semakin miskin manakala yang kaya terus membina kekayaan.

Rakyat marhaen melihat figura kayangan khususnya orang Melayu yang tersenarai dalam terkaya negara, namun mempertikai pula kenapa Melayu sendiri (Anwar) menekan Melayu (Syed Mokhtar) kerana bukan mudah Melayu sendiri membina jenama dan kekayaan yang dimonopoli kaum lain.

Buka mata lebih luas dan pandang pada setiap inci sudut perspektif apabila Perdana Menteri baharu berani menyuarakan keperluan kepada pihak yang tidak pernah disentuh selama ini.

Author

Pilihan Editor