KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini menzahirkan penghargaan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, Selangor.
Ucapan yang sama turut ditujukan kepada semua petugas media yang bertungkus lumus membuat liputan dan menyampaikan perkembangan terkini sejak hari pertama tragedi itu berlaku.
“Setinggi-tinggi penghargaan buat semua yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat yang berakhir pada hari ini dan takziah buat semua keluarga mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu dalam hantaran Facebook berasingan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut merakamkan penghargaan buat pasukan SAR daripada pelbagai agensi yang mengerah keringat mencari mangsa tragedi itu.
“Jasa bakti anggota pasukan SAR yang terlibat amat dihargai,” katanya.
Usaha pencarian mangsa terakhir tragedi berkenaan berakhir hari ini, selepas mayat mangsa ke-31, iaitu kanak-kanak lelaki dipercayai berusia lingkungan antara 7 hingga 12 tahun ditemukan pasukan SAR 4.53 petang tadi pada kedalaman tanah 1.5 meter.
Selepas sembilan hari operasi SAR dilaksanakan, mayat terakhir itu ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit dalam beg tidur, kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan sektor A (hill view).
Dalam insiden awal pagi 16 Disember lepas, seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan mangsa.
Kejadian menyayat hati itu meragut nyawa 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak. – BERNAMA