JOHOR BAHRU: Usaha menyelamatkan seorang pemandu lori yang membawa pasir seberat 40 tan mengambil masa hampir 12 jam selepas lori yang dipandunya itu terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Ibrahim, Stulang, awal pagi Sabtu.
Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba 1 Mohd Suhaimi Jamal berkata mangsa, Rosnani Siam, 47, akhirnya berjaya dikeluarkan 8.11 malam tadi, bagaimanapun beliau yang ditemukan tertimbus dengan pasir disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.51 pagi dan ketika sampai di tempat kejadian didapati sebuah lori telah terbabas dengan sebahagian badannya berada di dalam parit.
“Kerja-kerja rumit terpaksa kita hadapi apabila bahagian hadapan lori itu terbenam hampir 12 kaki (3.6 meter) ke dalam parit yang dipenuhi air.
“Kita terpaksa menggunakan kren seberat 350 tan untuk mengangkat lori pasir berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Mohd Suhaimi berkata, seramai 39 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan yang turut melibatkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air Balai Bomba Penyelamat Skudai.
Katanya dua jentera FRT, sebuah EMRS, tiga unit RIM dan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton digunakan dalam operasi itu yang berakhir pada 8.34 malam. – BERNAMA