HomeBeritaSalahkan Ramesh Rao jika kaum India gagal dibantu - Zahid

Salahkan Ramesh Rao jika kaum India gagal dibantu – Zahid

KUALA LUMPUR: Ramesh Rao iaitu Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PSMP) dilantik sebagai pegawai khas hal ehwal kaum India di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Mengumumkan sendiri pelantikan itu, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ramesh diberi tanggungjawab untuk menjaga kebajikan masyarakat kaum India di seluruh negara ini tanpa mengira warna politik masing-masing.

“Soal jaga kepentingan orang India, ada jawatan yang harus saya tawarkan pada Ramesh Rao.

“Tak kisah (mereka) sokong MIC, PKR, DAP ataupun mana-mana rakan gabungan BN, yang penting kita kena santuni seluruh kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada hadirin jamuan makan tengah hari di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, masyarakat India seluruh negara boleh merujuk soal kebajikan kepada Ramesh yang diberikan amanah itu.

“Kalau masyarakat India ada masalah, sila bantu. Kalau mereka gagal dibantu, jangan salahkan PM atau TPM, salahkan Ramesh,” selorohnya.

Terdahulu, Zahid hadir berucap di majlis anjuran Kuil Sree Maha Kaliamman di Shah Alam, Selangor, dan Ramesh juga penasihat di kuil itu.

Ramesh yang juga pemimpin pro Barisan Nasional (BN), kerap membuat laporan polis terhadap pengkritik kerajaan semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.

Februari tahun lalu pula Ramesh didakwa di mahkamah kerana mengaitkan hakim perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang membabitkan Najib dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum itu dia mendakwa hakim berkenaan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Mahathir.

Author

Pilihan Editor