KLANG: Sebanyak tiga buah kontena ditahan dan diperiksa oleh pasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pelabuhan Barat, Klang baru-baru ini.
JAS menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati kontena-kontena tersebut mengandungi bahan buangan yang diimport daripada Amerika Syarikat dan Sepanyol iaitu perkakasan komputer terpakai beserta wayar yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik (SW110) atau e-sisa.
“Pemeriksaan turut mendapati pengimport telah mengikrar bahan dagangan sebagai sekerap aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Notis Arahan akan dikeluarkan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel,” maklum JAS hari ini.
Untuk makluman, sebanyak 18 Notis Arahan kepada pengimport dikeluarkan JAS sekali gus membabitkan lebih 30 kontena dipulangkan ke negara asal sejak Januari lalu.
JAS Selangor terus komited untuk membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan Selangor dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing.