HomeBeritaToqqi jelaskan isu UEC, tidak terima dedak DAP

Toqqi jelaskan isu UEC, tidak terima dedak DAP

KUALA LUMPUR: “Saya tidak terima dedak DAP, tetapi kenyataan saya mengenai sistem UEC disalah tafsir media,” jelas Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau dikenali Toqqi.

Beliau menjelaskan tohmahan netizen setelah tersiarnya artikel Berita Harian bertajuk “Tidak ada masalah untuk gabungkan sistem UEC dengan sistem sedia ada”.

Katanya, tajuk artikel itu mengelirukan dan menggambarkan seolah-olah beliau bersetuju ia diiktiraf dan digabungkan dengan sistem sedia ada.

“Saya maksudkan tak salah hendak belajar bahasa apa pun, Cina, India, Arab tak salah pun, saya dahulu pun belajar sekolah Cina, tak hilang pun identiti bangsa saya.

“Yang jadi salah apabila ia langgar Perlembagaan tak meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sebab silibus pendidikan UEC semua bahasa Cina dan dicipta pihak swasta, dia buat silibus ikut cara dia sahaja betul ke salah tiada siapa tahu itu bahaya.

“Prinsip kita mudah apa-apa hendak dibuat perlu berdasarkan perlembagaan, isu kedaulatan, isu bahasa tidak boleh kompromi, kena jelaskan perkara ini, “katanya ketika siaran langsung menerusi FB Live PPIM bertajuk PPIM U-Turn Sokong UEC?.

PPIM turut menjemput penulis sebagai panel untuk berkongsi pandangan dari kaca mata wartawan mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang hangat diperkatakan ketika ini.

Penulis melontarkan pendapat bahawa jika aktiviti di madrasah dan tahfiz pun tiada pemantauan yang berkala mampu dilaksanakan, apatah lagi kemampuan untuk memantau sistem UEC samada ia membawa pendoktrinan yang tidak sepatutnya.

Dalam pada itu, Toqqi berkongsi pengalamannya ditemui kartel, sindiket kumpulan ‘dragon’ yang menawarkannya wang, kereta Vellfire, perempuan dan syurga dunia namun ditolaknya.

“Ada ahlong yang pendapatan hariannya RM30 juta sehari tawar macam-macam kita tak ambil sebab prinsip.

“Ada ‘dragon’ hendak kasi saya RM50,000, RM60,000 itupun kita tolak, kita tak ambil sebab prinsip.

“Saya sentiasa pesan pada keluarga PPIM kalau sesiapa ajak makan jangan biarkan mereka bayar, biar kita yang bayarkan, itu prinsip.

“PPIM bukan ada duit sebab Melayu ni lebih suka menerima dari memberi kita cukup-cukup untuk operasi sahaja tapi kalau NGO Cina lain mereka mewah, mereka sokong perjuangan bangsa mereka,” katanya.

Pada 29 November lalu, Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) memohon pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) dibincang secara rasional berikutan ia membabitkan isu akademik.

Dong Zong dalam kenyataannya menyebut, mereka memahami kebimbangan masyarakat Melayu dan atas dasar itu, pihaknya sudi berdialog serta berbincang dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pemahaman mengenai UEC, selain meningkatkan muafakat supaya isu pendidikan dapat didalami secara rasional dan pragmatik.

Toqqi mengesahkan ada mengadakan pertemuan dengan Dong Zong tetapi beberapa bulan lalu dan tiada kena mengena dengan UEC sebaliknya mengenai Akta 342 isunya jika tak pakai pelitup muka kena denda sampai penjara tujuha tahun dan denda RM100,000 yang dianggap melampau.

Author

Pilihan Editor