DALAM kesibukan orang ramai di tengah ibu kota, pasti ramai yang tidak sedar akan kewujudan seseorang yang dikenali sebagai ‘pembuat kunci’.
Mungkin pekerjaan itu kelihatan seperti picisan semata, namun bagi How Kian Kian, 72, pekerjaan membuat kunci itu merupakan lubuk pendapatan bagi kelangsungan hidupnya.
Kian atau lebih mesra dengan panggilan Uncle menyatakan lebih 40 tahun dia berkecimpung dalam dunia pembuatan kunci.
Anak jati Segambut, Kuala Lumpur itu turut berkongsi serba sedikit kisah perjalanannya sebagai seorang pembuat kunci di mana dia perlu membuka kedai sejak awal 9 pagi.
Menurut Uncle, kebiasaan kunci yang dihasilkannya adalah berdasarkan permintaan kriteria yang ditetapkan pelanggan dengan kadar harga yang berpatutan iaitu antara RM5 hingga RM25.
Penghasilan kunci memerlukan Uncle menggunakan beberapa peralatan seperti kerikir, berus dan mesin yang telahpun digunakannya sejak berpuluh tahun dalam mencipta kunci yang berkualiti tinggi.
Ketika ditanya apakah faktor yang membuatkan dia masih meneruskan pekerjaan itu meskipun usia sudah makin lanjut, Uncle mengatakan dia mempunyai tiga orang anak.
Jelasnya, ketiga-tiga anaknya itu merupakan pembakar semangat buat dirinya untuk terus berkhidmat memberi yang terbaik kepada pelanggan.