HomeBerita6 Mac keputusan permohonan Emilia pinda pernyataan

6 Mac keputusan permohonan Emilia pinda pernyataan

KUALA LUMPUR: Emilia Hanafi, 43, sebelum ini tampil menjelaskan tidak pernah memfailkan harta sepencarian ke atas bekas suaminya, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin walaupun sudah tujuh tahun berpisah.

Namun, ibu kepada tiga anak itu terkejut apabila menerima tuntutan harta sepencarian daripada ‘taikun’ perniagaan itu awal September tahun lalu.

Faisal menuntut rumah kelamin nama bersama yang ditinggalkan tanpa berpenghuni sejak 2016 kerana tidak diberikan kunci kepada Emilia dan anak-anak mereka.

Enggan tunduk mengalah, Emilia kini bangkit sebagai defendan mempertahankan hak anak-anaknya.

Peguam syarie mewakili Emilia sebagai defendan, Azmi Mohd Rais dari firma guaman
Zulkifli Yong Azmi & Co berkata, pada hari ini, di hadapan pendaftar Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di mana satu permohonan interlokutori (kebenaran meminda pernyataan pembelaan dan tuntutan balas kes harta sepencarian).

“Kes ini diteliti oleh hakim, Abdul Shukor.

“Pihak defendan dan plaintif saling bertukar hujahan bertulis.

“Tarikh seterusnya 6 Mac untuk keputusan permohonan, ” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Turut hadir pembantu Azmi, Ain Mawaddah Mohd Adanan dari firma sama dan peguam, Za’im Noor Alim dari firma guaman Nazri Yahya & Co.

Peguam mewakili SM Faisal, Ummi Kartini hadir namun anak guamnya tidak hadir.

Emilia hadir bersama peguamnya dan wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Sisters In Islam.

Pengerusi Bersama Kumpulan Naza itu membuat tuntutan terhadap sebuah rumah terletak di Serene Kiara bernilai kira-kira RM6 juta yang dimiliki secara bersama oleh kedua-dua mereka.

Rumah berkenaan dibeli pada tahun 2009 dan dijadikan rumah kelamin sepanjang tempoh perkahwinan mereka, telah dituntut SM Faisal pada 17 Mac lalu.

Untuk rekod, Emilia dan Faisal mendirikan rumah tangga pada 2004 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Mereka bercerai pada 29 Januari 2016.

Semasa penghakiman kes cerai, tiada perintah berkenaan harta sepencarian.

Ketika ini, Faisal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret menyebabkan kecederaan ke atas Emilia yang ketika kejadian merupakan isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Author

Pilihan Editor