BATANG KALI: Sekali pandang, kepala pesawat yang terletak di tepi jalan besar Batang Kali-Genting dekat sini, tidak ubah seperti hanya sebuah replika.
Namun, rupa-rupanya ia ialah sebuah bangkai pesawat sebenar C-130 Hercules dengan badan pesawat berkenaan djadikan sebuah restoran sehingga boleh memuatkan 40 orang dalam satu-satu masa dan dinamakan ‘Terminal 1 Domestic and International Cuisines’.
Pemilik restoran berkenaan Mohd Yasin A Bakar, bekas jurutera syarikat minyak dan gas berkata, bangkai pesawat itu pada awalnya sudah lama diletakkan di Subang dan ingin dilupuskan kerana tapak tanah berkenaan ingin diambil alih oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, seorang rakannya yang bekerja dalam industri penerbangan menawarkan pesawat berkenaan kepada beliau, memandangkan beliau memiliki sebidang tanah dengan keluasan yang agak besar, iaitu tapak restorannya sekarang, bagi meletakkan pesawat itu.
“Pesawat ini sampai di tapak tanah saya pada Disember 2019, hampir dua tahun jugalah saya berfikir nak buat apa dengan ‘besi buruk’ ini sehinggalah rakan-rakan saya cadangkan saya buat restoran dengan konsep unik ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Yasin, 56, berkata, pesawat berkenaan tiba dalam dua bahagian, iaitu kepala dan badan pesawat yang sudah diasingkan, sekali gus memberikan idea kepada beliau untuk meletakkan kepala pesawat berkenaan di tepi jalan besar agar dapat menarik perhatian orang ramai untuk singgah ke restoran itu.
Hampir RM50,000 pula dibelanjakan untuk kerja-kerja ubah suai badan pesawat berkenaan yang dijadikan restoran, termasuk kerja mencuci pesawat dan memasang bumbung serta lantai, selain pemasangan struktur platform tambahan pada kedua-dua bahagian sayap pesawat.
Uniknya, kesemua wayar berselirat dan berjuntaian yang ada di dalam badan pesawat berkenaan dikekalkan, namun dalam keadaan kemas dan teratur bagi memastikan pelanggan dapat mengetahui bagaimana kompleks dan rumitnya untuk membina sesebuah pesawat.
“Kebanyakan pelanggan saya teruja melihat kesemua wayar sebanyak ini kerana selama ini mereka tidak tahu beginilah rupanya,” katanya.
Mereka yang menjamu selera di situ juga boleh menikmati pemandangan alam semula jadi dari bahagian rear ramp yang telah diubah suai apabila dijadikan seperti satu balkoni yang menghadap terus ke bahagian hutan.
Pada sebelah malam, pemandangan menjadi lebih cantik apabila mentol lampu sepanjang kira-kira 150 meter yang menghubungkan kepala dan badan pesawat berkenaan dihidupkan, sekali gus menyaksikan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar.
Sejak mula beroperasi pada Jun 2022 dengan 12 pekerja, Mohd Yasin berkata, beliau tidak menang tangan menerima kehadiran pelanggan hampir 300 orang sehari yang ingin menikmati hidangan dalam suasana unik, sekali gus menyaksikan beliau menggunakan konsep tempahan terlebih dahulu berbanding datang terus atau walk-in. – BERNAMA