CYBERJAYA: Teka-teki mengenai status hubungan antara penyanyi, Fyna Jebat dan bekas jurulatih bola sepak popular, Datuk Zainal Abidin akhirnya terjawab apabila Fyna mengesahkan mereka sudah bergelar suami isteri.
Bagaimanapun, Fyna atau nama sebenar, Nurshafyna Jebat, 29, enggan mendedahkan butiran terperinci pernikahannya itu.
“Alhamdulillah, saya sudah pun bernikah. Terima kasih banyak-banyak kepada anda yang memberi komen yang baik.
“Harap dapat doakan saya dan keluarga,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Fyna berkata demikian ketika ditemui media selepas konsert mingguan program realiti terbitan TV3, Famili Duo yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan gosip berhubung Datuk Zainal yang juga bekas jurulatih liga super itu bernikah dengan seorang wanita berusia 29 tahun.
Beberapa portal dilaporkan memetik nama bekas pengendali Penang FC dan Melaka United itu melangsungkan perkahwinan dengan wanita terbabit yang dikatakan adik kepada Ayda Jebat, iaitu Fyna.
Arena Metro memetik sumber yang mengesahkan pasangan terbabit berkahwin, baru-baru ini, namun hanya diketahui individu dan ahli keluarga terdekat.
Mengikut rekod, Zainal Abidin berkahwin kali pertama pada 1980-an dan dikurniakan tiga anak.