SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan akan terus memantau budaya penyelenggaraan tren secara berkala termasuk tren Transit Aliran Massa (MRT) di negara ini bagi mengatasi masalah dan gangguan operasi.
Menterinya, Anthony Loke, sedia maklum mengenai kekecewaan orang ramai apabila gangguan itu berlaku berkata kementeriannya amat komited bagi memastikan perkhidmatan kereta api terbabit berada pada tahap terbaik.
“Semalam, sememangnya ada gangguan dalam MRT Laluan Kajang dan saya sudah minta pihak pengurusan untuk membuat penjelasan dengan apa yang berlaku. Ia memang ada masalah teknikal yang sepatutnya tidak berlaku kerana ia baharu beroperasi antara lima hingga enam tahun.
“Pihak pengurusan sedar, penyelenggaraan perlu dilakukan terutama membabitkan pertukaran roda-roda kereta api kita,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dengan syarikat logistik, GoBuilders Netsoft Sdn Bhd di sini, hari ini.
Beliau berkata, syarikat pengurusan memerlukan tempoh enam hingga lapan bulan untuk proses pelaksanaan penyelenggaraan bagi tren berkenaan manakala penyelenggaraan sepenuhnya dijangka dapat disiapkan menjelang suku ketiga tahun ini.
Semalam, MRT laluan Kajang berdepan gangguan operasi selepas tren itu mengalami tekanan angin rendah di Stesen Pasar Seni sehingga menyebabkan ratusan pengguna terkandas. – BERNAMA