KUALA LUMPUR: Kartel jalan yang mewujudkan sistem untuk monopoli projek dikatakan menyerap masuk ke jawatan tertinggi, di setiap agensi pembuat dasar, kewangan, pelaksana, penguat kuasa dan penggubal undang-undang.
Sumber kartel mendedahkan hanya pemegang jawatan tertentu di setiap peringkat yang boleh menurut arahan sahaja akan terlibat dalam kartel berkenaan.
Ibarat permainan buah catur, diatur di tangan perjawatan lebih berpengaruh di pihak atasan, yang menempatkan buah di posisi penting untuk mengawal projek besar bagi mengaut keuntungan atas angin.
“Jawatan tertentu yang penting ini, akan menempatkan orang mereka (kroni) sebagai pak turut.
“Kita sebut, hanya orang-orang mereka sahaja atau organisasi kartel jalan.
“Organisasi kartel tambahan turut melibatkan penguat kuasa sebagai kroni dan kontraktor pembuat kerja jalan.
“Kartel ini yang sudah pegang kepala-kepala, ketua-ketua, maksudnya, kepalanya daripada orang nombor satu jabatan dan ada yang pegang peruntukan kewangan bagi projek-projek jalan ini,” dakwanya.
Dakwa beliau, meskipun hanya bilangan minoriti, namun mereka memegang posisi penting menguruskan sebahagian besar peruntukan kewangan meliputi projek besar jalan.
Lebih tergamak lagi, pihak sama menguruskan pertukaran pegawai bagi memudahkan mereka menempatkan kroni menguruskan duit dan projek supaya dalam senarai kartel sahaja diberikan projek secara rundingan terus atau tender, yang telah dimanipulasi mereka.
Sumber itu turut mendakwa, sesiapa sahaja melawan sistem kartel mereka, akan ditempatkan di posisi dalaman, tidak melibatkan sebarang urusan dengan projek atau kontraktor, selain lebih teruk akan dikambinghitamkan, difitnah dan dizalimi.
Katanya, kumpulan bukan kroni ini akan ditugaskan sebagai penjaga kaunter, yang merekodkan minit mesyuarat, tukang fotokopi, atau menyelenggara kenderaan jabatan sahaja.
“Mereka dikatakan hanya layak menjaga bahagian peruntukan kecil seperti mengendalikan kursus sahaja, jadi sukar untuk berlaku rasuah besar kerana kursus tidak melibatkan peruntukan besar.
“Hampir 99 peratus yang naik pangkat terlibat dengan rasuah, kartel, dan lobi, selebihnya hanya naik berdasarkan penilaian,” katanya.
MEDIA VARIASI sebelum ini berpeluang mengupas punca jalan rosak dengan menemu bual seorang bekas pegawai tertinggi yang pernah terlibat dalam kartel berkenaan.
Beliau membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) setelah kecewa usahanya untuk mengetengahkan isu yang telah lama ‘membarah’ ini dipandang sepi oleh pihak penguatkuasaan.
Beliau juga pernah membuat laporan kepada pengurusan tertinggi kerajaan di peringkat jabatan, kementerian, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), SPRM, polis tetapi tiada menunjukkan perkembangan positif.
SILA IKUTI SIRI KETIGA KARTEL JALAN DI MEDIA VARIASI