HomeMV+BongkarKartel wujud sistem monopoli projek jalan

Kartel wujud sistem monopoli projek jalan

KUALA LUMPUR: Menerusi perkongsian pelapor awam di media sosial khususnya di Tiktok, rakyat berpeluang menyaksikan banyak kerosakan jalan berlaku di sana sini.

Tambahan lagi apabila jalan berkenaan sering digunakan kenderaan berat seperti lori dan sebagainya.

Rasa kecewa rakyat diluahkan apabila jalan yang rosak dan berlubang itu menyebabkan kemalangan khususnya penunggang motosikal, ada nyawa yang terkorban atau cedera.

Jalan rosak punca nyawa melayang

Namun apa yang rakyat tidak tahu adalah jalan-jalan ini terhasil daripada sistem yang diwujudkan kartel untuk memonopoli projek jalan di Malaysia.

MEDIA VARIASI berpeluang mengupas punca jalan rosak dengan menemu bual seorang bekas pegawai tertinggi yang pernah terlibat dalam kartel berkenaan.

Beliau membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) setelah kecewa usahanya untuk mengetengahkan isu yang telah lama ‘membarah’ ini dan telah berulang kali membuat aduan dipandang sepi oleh pihak pengurusan atasan pentadbiran awam kerajaan serta pihak penguatkuasaan.

Malah beliau pula yang dikenakan pelbagai tindakan tatatertib berdasarkan fitnah,  dikambing hitam dan dizalimi oleh sistem kartel ini.

“Ada wakil daripada kartel-kartel ini jumpa saya, ajak saya jumpa orang tertentu daripada sistem kartel jalan berkenaan.

“Sistem kartel ini dimulakan dengan perjanjian bersama iaitu sebelum melaksanakan sesuatu projek jalan, saya perlu bersetuju dengan perancangan ditetapkan kartel dan baharulah peruntukan diberikan.

“Tugas saya adalah meluluskan projek, jadi untuk mendapatkan peruntukan itu saya perlu bersetuju terlebih dahulu dengan kartel, seolah-olah mengikat perjanjian dengan syaitan.

“Dan apabila saya bersetuju, barulah peruntukan diberikan, selepas itu projek akan diagih-agihkan kepada kartel.

“Kartel berkenaan sudah ada senarai penggerak iaitu hanya orang tertentu sahaja yang dapat manfaat dan mereka akan membelanjakan duit rakyat sesuka hati,” katanya dalam temu bual bersama MEDIA VARIASI.

Pengadu berkenaan telah membuat laporan polis dan SPRM.

Tambah pengadu itu lagi, apabila peruntukan yang diluluskan contohnya RM50 juta tetapi hanya separuh yang digunakan untuk projek kerana separuh lagi untuk ‘poket masing-masing’ pasti kualiti bahan lebih teruk dan tidak ikut spesifikasi kerana kartel projek ini ada juga terlibat oleh wakil mereka yang memantau di peringkat perlaksanaan projek di tapak.

“Kartel ini terdiri daripada agensi penguatkuasa, pelaksana, pembuat dasar dan daripada kementerian terlibat.

“Mereka aturkan posisi-posisi, jawatan tertentu yang boleh berikan peruntukan dan menempatkan wakil mereka di setiap ketua jabatan di kementerian, jabatan, cawangan, negeri, daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, majlis dan di setiap projek ada wakilnya.

“Bajet memang daripada kerajaan, tetapi mereka yang pegang tampuk kuasa.

“Isu ini telah lama berlaku dan menjadi barah yang tiada penawarnya,” katanya.

IKUTI SAMBUNGAN PENDEDAHAN KARTEL MONOPOLI PROJEK JALAN

Author

Pilihan Editor