ORANG Melayu harus menolak mentah-mentah, sebarang gerakan sulit menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, dipercayai bermula dengan Langkah London atau ‘London Move’.
‘London Move’ didakwa satu gerakan sulit bertujuan menggulingkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyasarkan rakan kerjasama parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Gerakan itu dipercayai dicetuskan orang dalam parti UMNO sendiri, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar, Datuk Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin di Grand Plaza Hotel, London.
Perancangan didakwa menjatuhkan Zahid pada Pemilihan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Mei ini, sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dengan membentuk gabungan lain bersama Perikatan Nasional (PN).
Jika ia benar, maka benarlah juga telahan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai rumah terbakar yang diceritakan ringkas di Facebooknya.
Najib menggambarkan abang sulung sedaya upaya memperbaiki rumah terbakar akibat ahli keluarga pengkhianat, ‘membersihkan’ agenda pengkhianat tetapi ada yang cuba menjadi ‘broker’ menjual rumah belum kukuh.
Orang Melayu sendiri sudah cukup pening melihat sesetengah pemimpin politik orang Melayu yang bukan mengutamakan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, tetapi cenderung kepada perebutan kuasa.
Masalah sebegini bukan perkara baharu, tetapi sudah sekian lama wujud membarah berpuluh tahun hasil doktrin Tun Dr Mahathir Mohamad.
Apabila UMNO/BN kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15), ramai yang menyalahkan Presiden UMNO, sedangkan usahanya membantu membersihkan pengkhianat dan pembelot ketika berperang dalam kempen ketika itu.
Yang anehnya, tiada siapa yang lantang mempersoalkan kepimpinan ‘poster boy’ UMNO, Ismail Sabri kerana wajahnya terpampang di kain rentang di seluruh negara ketika kempen.
Lebih aneh lagi, mereka yang melakukan gerakan itu seolah-olah PRU15 itu seolah-olah mengkhianati mandat rakyat yang mengundi mereka kerana kepercayaan kepada parti dan kepimpinan.
Mungkin ada yang terlupa apabila setiap kali PRU tiba, yang membuat keputusan adalah ‘rakyat’ memilih wakil rakyat di kawasan mereka.
Jika UMNO tidak melakukan sebuah anjakan paradigma drastik, UMNO yang satu-satunya parti terbesar orang Melayu dan mempertahankan apa jua milik asal orang Melayu dan Tanah Melayu ini akan tetap tewas dan tewas sehinggalah benar-benar ‘dibersihkan’ daripada agenda yang merosakkan parti.
Bagi orang lama, atau rakyat yang masih hidup era kepimpinan Tun Mahathir, atau pra merdeka, mereka masih menuntut UMNO kekal relevan berada dalam kerajaan sampai bila-bila.
Hasrat mereka hanya mahu Melayu terus kekal di tanah air sendiri kerana jika bukan UMNO, apa lagi harapan mereka yang meletakkan kepercayaan yang tersemat dalam hati selama ini.
Syukur apabila takdir meletakkan UMNO dengan kemenangan 30 kerusi, berada dalam kerajaan meskipun berada dalam Pakatan Harapan (PH) yang masih sudi saling membentuk kerjasama demi meneruskan agenda negara dan rakyat.
Maka terhasil Kerajaan Perpaduan dengan titah cadangan Yang di-Pertuan Agong dan dengan kebijaksanaan Presiden UMNO, parti berupaya mendapat jawatan sebanyak tujuh menteri dalam Kabinet.
*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI