HomeBeritaMalaysia Madani bukan sesuatu yang baharu, namun cukup lama dinantikan rakyat -...

Malaysia Madani bukan sesuatu yang baharu, namun cukup lama dinantikan rakyat – Zahid

PUTRAJAYA: Masyarakat Malaysia Madani bukan sesuatu yang baru dan bukan hanya berbentuk satu idealisme dan tugu baharu untuk meninggalkan dasar-dasar yang lama, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, idealisme ini mesti diterjemahkan kepada dasar yang sedia ada dan modifikasi dasar-dasar kerajaan yang ada, serta yang lebih penting ialah soal implementasi daripada idealisme seorang pemimpin.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah lama melontarkan pandangan mengenai masyarakat Madani sejak dari sebelum beliau memegang jawatan tersebut.

“Apabila Allah mentakdirkan beliau menjadi nakhoda kepada kerajaan yang ada, tentunya kerajaan yang diketuai beliau dan dokongan daripada pelbagai parti, harus memberikan penghayatan terhadap pelaksanaan dan juga ‘follow through’ kepada pelaksanaan berkenaan.

“Akhirnya kita lihat bahawa masyarakat harus digarisbawahkan dengan penuh kesejahteraan, maka ukuran kesejahteraan itu lah yang disebutkan beliau dalam ucapan ulung tadi memperlihatkan bahawa akhirnya keterangkuman dari pelbagai kumpulan masyarakat, bangsa, agama, bahasa dan juga wilayah.

“Ini merupakan satu pendekatan baharu yang pada khidmat saya cukup lama ditunggu oleh masyarakat yang selama ini mungkin memperolehi bantuan daripada kerajaan dalam apa bentuk pun supaya bantuan-bantuan ini biarpun diteruskan, namun harus ada nilai kerohanian bagi menjadikan masyarakat itu dipertingkatkan taraf hidupnya dan merasa tidak dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta pihak media untuk mengulas mengenai amanat yang disampaikan Anwar sempena Wacana Membangun Negara Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.

Tegasnya, Malaysia Madani adalah sesuatu yang bukan baharu tetapi soal pelaksanaanya mesti dilakukan dengan minda Madani seperti yang disebutkan Anwar.

Author

Pilihan Editor