HomeBeritaPolitikMaszlee sangkal spekulasi sertai kerajaan Anwar, tawar diri bantu PH menuju PRN

Maszlee sangkal spekulasi sertai kerajaan Anwar, tawar diri bantu PH menuju PRN

CYBERJAYA: Baru-baru ini, timbul spekulasi mengatakan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan menyertai Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Maszlee menjelaskan bahawa tanggapan sebilangan pihak itu kemungkinan terpesong sedikit kerana beliau mengerti Anwar mahu beliau kembali aktif dalam membantu pihak parti PKR terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Teguran PMX, Datuk Seri Anwar telah ditafsirkan sebagai tawaran jawatan oleh media dan ramai pihak. Terima kasih kepada semua yang berbaik sangka dan menaruh harapan.

“Saya tidak menyebutkan apa-apa mengenainya di dalam status tersebut.

“Apa yang pasti ianya merupakan teguran oleh PMX untuk saya kembali aktif membantu parti (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN di negeri-negeri yang diperintah oleh PH sekarang, terutamanya Selangor dan Negeri Sembilan,” tulisnya di Facebook hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut menyatakan dia telah bersetuju untuk membantu Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan dalam menggerakkan jentera sempena PRN kali ini.

“Saya pun telah bersetuju dan menawarkan diri membantu MB di kedua-dua buah negeri untuk pusing keliling Selangor dan Negeri Sembilan di dalam waktu terdekat.

“Di samping itu, selain PRN, saya juga telah menawarkan diri kepada YBM Fadlina Sidek untuk turun ke sekolah-sekolah bertemu para guru untuk memberikan motivasi dan menaikkan semangat mereka terutamanya di dalam usaha para guru memulihkan anak-anak murid pasca COVID-19.

“Melalui jerayawara itu juga diharapkan saya akan dapat membawa inspirasi dan suara YBM serta kerajaan kepada para guru untuk terus membangunkan pendidikan,” ujarnya.

Mengulas isu berkaitan mendapat jawatan baharu, Maszlee menegaskan tiada sebarang jawatan yang dijanjikan.

Katanya, perkara yang paling penting buat masa ini adalah pengorbanan dalam perjuangan demi kesejahteraan rakyat.

Author

Pilihan Editor