HomeMV+PendapatZahid jinakkan DAP demi melindungi Melayu

Zahid jinakkan DAP demi melindungi Melayu

KETIKA ramai mencela Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid ‘berlaga pipi’ dengan parti DAP dalam Kerajaan Perpaduan, realitinya ramai yang tidak faham yang ‘tersirat’ di sebalik gabungan politik ini.

Khususnya dalam kalangan ahli UMNO yang masih marah kerana Ahmad Zahid melanggar sumpah janji No Anwar, No DAP yang dilaungkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

Apabila Yang di Pertuan Agong menyarankan pembentukan Kerajaan Perpaduan, jemputan pertama untuk berada dalam kerajaan ini adalah Perikatan Nasional (PN) tetapi pakatan itu menolaknya.

Selepas penolakan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan atas dasar kerjasama kematangan berpolitik untuk kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, masih ramai buat-buat tidak faham bahawa dalam kerajaan hari ini tiada istilah kerajaan PH, DAP, BN di sini, yang ada hanyalah Kerajaan Perpaduan.

Walaupun DAP memenangi kerusi lebih banyak dari BN, namun mereka hanya dapat empat jawatan Menteri di Kabinet manakala tujuh dari BN.

Jika DAP gila kuasa, pastilah mereka menentang kerusi dalam Kabinet namun mereka akur dan berkorban.

Apa yang tersirat di sini? DAP telah berjaya ditundukkan oleh Zahid atas tiket UMNO dan BN.

Maksudnya DAP telah bersetuju dengan syarat tertentu yang telah disarankan sebelum BN melangkah sebagai satu pasukan.

Sebagai contoh, DAP sudah meminta maaf dengan beberapa pihak dalam kerajaan sebelum ini, juga berjanji tidak akan menyentuh perkara berkait keistimewaan Melayu dan Raja-raja Melayu.

Tidak seperti orang Melayu yang berada dalam parti komponen seperti PAS, PN yang mana asyik berkelahi untuk bunuh satu sama lain tanpa memikirkan kemajuan ekonomi.

Amat jarang kita lihat DAP berbeza pendapat antara satu sama lain, mereka akur keputusan parti demi kelangsungan ekonomi, mereka lebih mementingkan kestabilan berbanding tikam menikam sesama sendiri yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal jinakkan DAP, sebaliknya menjadikan DAP lebih liar sehingga ‘naik tocang’ bersikap kurang ajar sanggup menjual aset-aset Melayu dan tidak hormat Perlembagaan.

Kisah bendera diterbalikkan, tidak cukup jalur, bendera hitam putih, menukar papan tanda jalan dengan tulisan Cina dan semua ini berlaku di zaman pentadbiran Tun M.

Namun akhirnya, Zahid berjaya jinakkan DAP untuk menghormati bumi mana yang mereka pijak.

Kita semua tahu Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin mahu melawan Zahid bagi jawatan Presiden demi kepentingan mereka.

Adakah pasti jika mereka menang boleh membina UMNO balik?

Sepatutnya kuatkan UMNO seperti DAP kuatkan parti mereka, maju ke hadapan bukan membazirkan masa dengan usaha untuk menjatuhkan orang lain.

Putaran ini tidak akan habis, jika A naik, B bantai, jika B naik, C pula bantai, bila bangsa lain lebih maju kita marah sedangkan masa kita dihabiskan dengan perkara tidak remeh.

Kemusnahan Melayu itu adalah daripada tangan-tangan kepimpinan orang Melayu sendiri, sikap dengki serta iri hati tetap diwarisi dalam kepimpinan sehingga ke hari ini.

Melayu harus berubah demi kelangsungan mencari perpaduan dan ekonomi.

*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor