KUALA LUMPUR: Biarpun raut wajah tampil dengan senyuman ceria, namun tiada siapa mampu menelah isi hati pelakon dan peragawati, Puteri Sarah Liyana kecuali dirinya sendiri.
Puteri Sarah Liyana atau nama sebenar, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin tanpa menoleh ke belakang lagi, hari ini memfailkan perceraian terhadap suami, Syamsul Yusof.
Puteri Sarah menjelaskan tiada peluang kedua diberi kepada Syamsul berhubung permohonan cerai yang difailkan, hari ini.
“Saya sudah fikir masak-masak. Tiada peluang kedua untuk Syamsul,” katanya dilaporkan media.
Katanya, keputusan diambil itu dianggap sudah muktamad.
“Ini jalan terbaik…Â Keputusan saya muktamad,” katanya.
Terdahulu, Puteri Sarah yang berpakaian jubah dan tudung hitam tiba di pekarangan mahkamah pada jam 10.25 pagi, ditemani dua adiknya.
“Saya sudah bersedia dan bersemangat kerana ada adik-beradik ada di sisi,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Puteri Sarah diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Sebelum ini, menantu kesayangan pengarah legenda, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail itu menjelaskan tuntutan cerai dibuat selepas krisis rumah tangga dengan Syamsul tidak menemui jalan perdamaian, sejak empat tahun lalu.
Selain itu, Puteri Sarah dilaporkan enggan bermadu selepas Syamsul mengaku bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, di Thailand, baru-baru ini.
Susulan pengakuan Syamsul, topik kemelut rumah tangga pasangan ini dan kehadiran Ira hangat diperkatakan sehingga ‘trending’ dalam media sosial dan kalangan pasangan berkeluarga.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam yang berusia 5 tahun dan adiknya, Sumayyah, 3 tahun.