BANGI: Pengemis warga Rohingya dipercayai didalangi sindiket berlakon lumpuh dan kurang upaya ketika menghampiri orang ramai.
Lelaki warga asing berusia 35 tahun itu dilihat keluar dari sebuah kereta, memakai alat penyokong badan, bertongkat dan boleh berdiri tegak.
Sebaik tiba di sebuah kedai, dia terus membongkokkan diri dan meminta sedikit wang kononnya untuk sara perubatan dirinya yang dan keluarga.
“Saya dulu bekerja sebagai kontraktor, sekarang tak bekerja sebab jatuh bangunan dua tahun lalu.
“Saya anak empat orang, sekolah pun mahal (duit belanja),” dakwanya.
Kejadian itu berlaku di sekitar Bangi, pada Rabu lalu.
Bagaimanapun gerak-gerinya disedari wartawan MEDIA VARIASI.
MEDIA VARIASI dalam siri pertama Bongkar sebelum ini melaporkan, penulis didatangi sindiket pengemis diwakili dua wanita mengaku warga Myanmar menjual buku yang dibekalkan bosnya ketika sedang makan di sebuah restoran di Bangi.
Berada di restoran sama hampir dua jam bermula jam 3 petang itu, datang pula wanita warga emas dari Thailand ketika menjual keropok yang digorengnya sendiri kepada pelanggan di kedai sama.
Wanita terbabit juga bagaimanapun mendedahkan terdapat sindiket pengemis membabitkan warga asing dipercayai diuruskan oleh warga Bangladesh.
Bagaimanapun ‘mengganggu’ orang ramai yang sedang menghadap rezeki masing-masing dilihat tidak sopan dan tidak beradab.
Kehadiran sindiket pengemis ketika orang ramai sedang menghadap rezeki masing-masing dilihat sebagai satu gangguan awam yang menimbulkan ketidakselesaan suasana.
Ada yang datang membawa tisu, buku, pen, jam tangan, minyak wangi, makanan ringan, ada yang kurang upaya (OKU) seperti buta ditemani ‘jurupandu’, ada yang tidak membawa apa-apa kecuali sekeping nota mendakwa dirinya OKU dan memohon bantuan.