SIBU: Jika berkunjung ke Sarawak, pasti ramai yang mahu mencuba hidangan istimewa negeri tersebut seperti mi kolok dan laksa Sarawak.
Namun jika anda ke Sibu, terdapat satu lagi hidangan yang perlu dirasai iaitu pulut panggang.
Di Semenanjung, kebiasaanya pulut panggang mempunyai inti yang diperbuat daripada kelapa parut dan udang kering namun di Sibu, kuih ini turut dihasilkan secara tanpa isi iaitu pulut semata.
Perkara ini kerana rata-rata penduduk di Sarawak menikmati hidangan pulut panggang kosong dengan mencicah bersama kuah seperti kari.
Salah sebuah kedai yang popular di Sibu, Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor, merupakan antara lokasi yang menjadi tumpuan penduduk di Sibu dan dari luar Sarawak.
Menurut peniaga, Atiqah, 22, perniagaan yang diusahakannya itu merupakan perniagaan keluarga dan dia merupakan generasi keempat yang memajukan perniagaan tersebut.
Tambah Atiqah, antara faktor yang menjadikan pulut panggang Sibu lebih menarik adalah kerana kuih berkenaan dibakar menggunakan arang.
Katanya, lebih 1,000 biji pulut panggang dijual dalam masa sehari di premisnya yang dibuka bermula jam 7.30 pagi sehingga 11 pagi.
Jelasnya, hidangan pulut panggang turut mendapat tempahan tinggi lebih-lebih lagi ketika musim perayaan kerana kuih ini sesuai dimakan tidak kira waktu.
Di premis Atiqah, kuih pulut panggang dijual dengan harga RM1 (kosong) dan RM1.50 (inti).
Malah, keenakan pulut panggang Sibu membuatkan rata-rata masyarakat yang tinggal di Kuching dan Miri sanggup membelinya dalam jumlah yang banyak untuk dibawa pulang ke sana.
Atiqah turut berharap menu istimewa tersebut akan kekal menjadi pilihan orang ramai ketika berkunjung di Sibu.