ANKARA: Taliban menyambut baik mesyuarat dan deklarasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai sekatan ke atas wanita, tetapi meminta masyarakat antarabangsa tidak “campur tangan dalam hal ehwal dalaman Afghanistan.”
Dalam satu kenyataan pada Khamis, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid berkata: “Masyarakat antarabangsa harus meneruskan kerjasama dengan warga Afghanistan dan tiada siapa yang boleh campur tangan dalam hal ehwal dalaman Afghanistan.”
“Kami faham mengenai kebimbangan pertubuhan berkenaan mengenai pendidikan wanita namun, langkah sementara dalam hal ini sudah diambil dan akan diselesaikan apabila keadaan mengizinkan…,” katanya lapor Agensi Anadolu.
Dalam sidang luar biasa yang dimulakan oleh Türkiye pada Rabu itu, OIC menyuarakan kebimbangan terhadap sekatan yang dikenakan oleh kerajaan pimpinan Taliban ke atas wanita Afghanistan.
OIC juga memutuskan untuk menghantar delegasi ke Afghanistan untuk berbincang dengan kerajaan pimpinan Taliban mengenai hak wanita untuk pendidikan dan pekerjaan.
Bulan lalu, kerajaan sementara Taliban melarang wanita menyambung pengajian ke universiti dan melarang wanita bekerja dalam pertubuhan kemanusiaan tempatan dan antarabangsa serta mengambil bahagian dalam aktiviti politik.
Remaja perempuan juga dilarang mendapatkan pendidikan di sekolah menengah.
Beberapa negara dan pemimpin termasuk Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan telah mengkritik kerajaan sementara itu.
Erdogan berkata, menghalang pendidikan untuk wanita, remaja serta kanak-kanak perempuan adalah “tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan Islam.” – BERNAMA